Anda kini boleh membeli dua rangka tulang dinasour spesis allosaurus dan diplodocus yang dilelong oleh Rumah Lelongan Binoche et Giquello, baru-baru ini.

“Dinasour telah menjadi sebuah objek hiasan sebenar seperti lukisan,” menurut Lacopo Briano daripada rumah lelongan terbabit sambil berkata aktor Hollywood iaitu Leonardo DiCaprio dan Nicolas Cage merupakan peminat ‘perhiasan prasejarah’.

Ujar Briano, dua rangka tulang itu menerima bidaan daripada syarikat multinasional serta golongan kaya dari Eropah dan Amerika Syarikat.

Kedua-dua rangka berkenaan menerima bidaan sebanyak 3 juta euro (RM14.3 juta) daripada pembida yang sama.

“Pasaran fosil tidak lagi terbuka kepada saintis sahaja,” kata Briano. - AFP

Cuba raih dana berbulan madu

LONDON - Sepasang pengantin baharu dilaporkan cuba meminta dana daripada orang ramai menerusi laman sesawang Go Fund Me bagi menanggung bulan madu mereka baru-baru ini.

Lapor Mirror UK, pasangan terbabit iaitu Sarah dan Sam Davey berbuat demikian selepas mereka mendakwa hotel yang diduduki ketika bulan madu dipenuhi serangga.

Mereka cuba meraih dana sebanyak 300 pound (RM1,649) namun pasangan berkenaan hanya berjaya mendapat 65 pound (RM357) sahaja. Sarah dan Sam pada mulanya bercadang tinggal di Hotel Trecarn di Torquay, Devon selama seminggu tetapi pasangan itu keluar dari hotel terbabit selepas mereka digigit serangga.

Selepas membuat aduan kepada pengurus hotel tersebut, pasangan berkenaan diberikan ganti rugi sebanyak 80 pound (RM439) - di mana wang itu dibayar menggunakan duit syiling.

Cipta mesin cepatkan waktu

LONDON - Seorang ‘pengembara masa’ mendakwa telah mencipta mesinmasa yang membolehkan pengguna mempercepatkan waktu dengan hanya menggunakan elektrik dan air.

Lapor Mirror UK, David dari Slovenia berkata, dia meninggalkan keluarganya selama lapan tahun untuk mengkaji lebih mendalam mengenai pengembaraan masa.

Dia mendakwa bertemu dengan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Jack Lion Cousteau’ yang dikatakan membina mesin masa dan mempunyai gambar untuk membuktikannya.

Lelaki berkenaan bagaimanapun enggan membenarkan David membawa gambar terbabit balik.

David yang mempelajari fizik sejak kecil dan meminati Nikola Tesla, telah menggunakan pengetahuannya untuk membina mesin masanya sendiri.

“Lapan tahun saya meninggalkan segala-galanya, malah keluarga sendiri, hanya untuk membuat mesin masa dan itulah impian saya.

“Sepanjang tempoh itu, saya menjelajah ke seluruh pelosok dunia. Saya berjumpa seseorang yang menunjukkan gambar dari abad ke-35,” dakwa David.

David juga mendakwa dia telah ‘menjelajah’ sebanyak 20 kali menggunakan mesinnya sendiri tetapi hanya boleh pergi ke masa hadapan sahaja.

Yu paus berenang bersama manusia

MEXICO CITY - Seekor ikan yu paus yang berenang bersama-sama sekumpulan manusia di sebuah perairan di negara ini berjaya dirakamkan oleh seorang lelaki, baru-baru ini.

Lapor Mirror UK, seorang jurukamera, Tarsicio Sanudo Suarez, 36, sempat merakamkan kejadian itu dan menyifatkannya sebagai satu peristiwa yang istimewa.

Imej tersebut dirakamkan di perairan Baja California Sur dengan menggunakan dron milik Sanudo Suarez.

“Ketika itu, saya berada di atas bot bersama-sama rombongan dari Muzium Ikan Paus La Paz.

“Ikan yu paus tidak akan mengancam manusia. Bagi saya ini adalah hari yang istimewa kerana dapat merakamkan keindahan Pantai Baja California Sur dan kejadian itu,” katanya.

Ikan yu paus merupakan ikan terbesar di dunia dan boleh membesar sehingga 12.5 meter serta seberat 35,833 kilogram.