Ahli keluar­ga mang­sa men­dakwa mereka diberikan makluman bahawa tidak perlu memakai jaket keselamatan sebelum berlakunya kejadian itu pada malam kelmarin, yang turut saksikan oleh orang ramai berhampiran tasik itu.

Seorang saksi turut merakamkan detik-detik bot amfibia atau 'duck boat' itu meredah air tasik yang bergelora di bandar berkenaan yang merupakan destinasi pe­lancongan yang popular.

Mangsa yang terkorban berusia antara setahun sehingga 70 tahun termasuk pemandu bot manakala tujuh lagi cedera.

Salah seorang mangsa yang terselamat, Tia Coleman berkata, hanya dua daripada 11 anggota keluar­ganya yang menaiki bot itu terselamat iaitu dirinya dan anak saudaranya.

“Saya kehilangan semua anak saya. Saya kehilangan suami, ibu dan bapa mertua dan ahli keluarga lain,’’ katanya kepada stesen te­levisyen Indianapolis.

Coleman mendakwa, sebelum kejadian, kapten bot itu memaklumkan kepada penumpang yang berada dalam bot bahawa mereka tidak perlu memakai jaket keselamatan.

“Apabila kejadian ini berlaku, kami tidak sempat memakai jaket dan semuanya sudah terlambat. Saya percaya jika kami memakai jaket lebih awal, ramai yang akan terselamat,’’ katanya.

Wanita itu menambah, air di tasik kelihatan tenang ketika mereka mula menaiki bot.

Akhbar New York Times yang memetik seorang lagi ahli keluarga mangsa, Carolyn Colemn berkata, tiga generasi keluarganya yang berasal dari Indianapolis termasuk empat kanak-kanak terkorban.

Katanya, mereka telah menyewa sebuah van dan bertolak dari Branson untuk bersama-sama menyertai percutian tahunan keluarga.

Menurut polis, seramai 31 orang menaiki bot terbabit yang turut dikenali sebagai ‘duck boat’ kerana mempunyai tayar untuk bergerak di darat dan terapung semasa di atas air.

Semasa kejadian, bot berkenaan dilihat menghadapi masalah untuk sampai ke darat akibat angin kencang sebelum dipukul ombak dan tenggelam.

Sebuah lagi bot yang turut berada di tasik itu sewaktu kejadian berjaya pulang ke daratan. – AFP