Pihak berkuasa Australia memaklumkan walaupun taufan itu telah menghala ke laut selepas membadai kawasan utara Queensland, paras air meningkat selepas hujan lebat dengan kadar tiga kali ganda daripada kebia­saannya, melanda beberapa kawasan semalam.

Pesuruhjaya Bahagian Per­khid­matan Kecemasan New South Wales, Mark Morrow percaya ramai mangsa yang hanyut dan mati lemas malam tadi akibat terperangkap dalam banjir.

“Setakat ini, jumlahnya masih belum diketahui dan kami menjangkakan akan menerima berita buruk,” katanya.

Menurut beliau, banyak rayuan memohon bantuan daripada mangsa tidak dapat dipenuhi kerana keadaan yang berbahaya malah anggota penyelamat dijangka hanya dapat memasuki kawasan yang terlibat esok.

Katanya, helikopter tidak dapat digunakan untuk memberi bantuan kepada mangsa yang terputus hubungan berikutan angin kencang malah pihaknya mengalami kesukaran untuk menggunakan jalan darat.

Kawasan yang mengalami kerosakan teruk termasuklah Lismore dan Tweed Heads di NSW serta Gold Coast dan Beaudesert di Queensland.

Semalam pihak berkuasa ber­kenaan telah mewajibkan penduduk yang terlibat berpindah.

Lebih 2,000 sekolah di Queensland masih ditutup hari ini akibat banjir manakala kira-kira 80,000 penduduk terputus bekalan elektrik di NSW selain berpuluh-puluh ribu lagi mangsa mengalami masalah sama di Queensland.

Pihak berkuasa Queensland turut memaklumkan anggota bomba berjaya menyelamatkan 85 orang yang terperangkap di beberapa kawasan di negeri itu.

Pesuruhjaya Bahagian Per­khid­­matan Kecemasan Queensland, Katarina Carrol berkata, pihaknya menerima lebih 5,600 panggilan yang me­rayu bantuan sejak puting beliung membadai negeri itu. – BBC/dpa