Menteri Dasar Keluarga dan Sosial Turki, Fatma Betul Sayan Kaya berkata, ini terbukti selepas negara Barat dan media mereka, yang dikatakan sebagai pejuang hak kebebasan dan sistem demokrasi, tidak memberi sokongan atau bantuan kepada kerajaan Turki yang dipilih secara sah.

"Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) dan media-media mereka mengambil sikap 'tunggu dan lihat' berikutan peristiwa cubaan rampas kuasa pada malam 15 Julai tahun lalu itu.

"Sebaliknya rakyat Turki dari segenap lapisan masyarakat telah keluar beramai-ramai menentang tentera yang memberontak dan yang bersenjatakan jet pejuang dan kereta kebal, sehingga 249 orang kehilangan nyawa.

"Media Turki pula berjuang menentang semua usaha menyekat dan menghalang mereka melaporkan apa yang berlaku pada malam berkenaan, sehingga seorang wartawan Turki terbunuh," jelas beliau kepada lebih 350 wartawan dari 52 negara termasuk Malaysia dan Turki di sini semalam.

Pada 15 Julai tahun lalu, rakyat Turki turun beramai-ramai di jalan raya bagi menghalang cubaan rampas kuasa oleh kumpulan yang dikenali sebagai Pertubuhan Pengganas Fethullah (Feto) yang dipimpin oleh Fethullah Gulen, seorang pemimpin agama yang melarikan diri ke Amerika Syarikat.

Dengan sokongan puak tentera yang prihatin dengan Gulen, mereka telah mengebom bangunan Parlimen Turki di sini dengan menggunakan pesawat pejuang dan helikopter, selain membuat sekatan jalan raya dan cubaan membunuh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Bagaimanapun cubaan rampas kuasa yang hanya berlaku semalaman itu berjaya dipatahkan apabila rakyat Turki termasuk wanita serta remaja turun beramai-ramai tanpa mengira parti dan fahaman menghalang pergerakan serta sekatan tentera bagi mempertahan kerajaan pimpinan Erdogan dari Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).

Sementara itu, Menteri Keadilan Turki, Bekir Bozdag berkata, beberapa ahli Parlimen Turki termasuk beiau telah nekad untuk berkumpulan di Parlimen pada malam berkenaan meskipun bangunan Parlimen dibom dan diserang oleh jet pejuang dan helikopter penyerang.

"Pada malam itu, kami ingin membuktikan bahawa Parlimen tidak akan ditutup atau dibubarkan oleh mana-mana rampasan kuasa.

"Semasa saya berucap di Parlimen malam itu, bangunan Parlimen dibom.

Selepas 5 hingga 10 minit lagi, bangunan Parlimen telah dibom kali kedua. Kami masih di Parlimen sebagai tanda sokongan kami kepada keinginan rakyat yang mahu kerajaan masa itu dikekalkan," jelas beliau. - Utusan Online