Laman web Presstv.ir melaporkan, tinjauan yang dijalankan oleh Yayasan Penyelidikan Institut Pengurusan Komersial (ICM) yang dikeluarkan hari ini menunjukkan, kumpulan pro-kemerdekaan mendapat sokongan sebanyak 54 peratus berbanding 46 peratus bagi anti-kemerdekaan.

Sementara itu, satu lagi tinjauan yang dijalankan oleh Pusat Dinamik Etnik Universiti Glasgow mendapati, 94 peratus etnik minoriti yang dilahirkan di Scotland mengakui diri mereka sebagai rakyat Scotland berbanding Britain.

Pusat berkenaan memberi kesimpulan, kecenderungan kumpulan minoriti untuk dikenali sebagai rakyat Scotland memberi petunjuk baik kepada kejayaan kempen mencapai kemerdekaan.

Kebanyakan pengundi etnik minoriti berkata, Scotland mempunyai polisi imigresen yang lebih terbuka berbanding UK yang mungkin menjadi faktor penentu kepada keputusan pungutan suara.

Menteri Pertama Scotland, Alex Salmond berkata, rakyat Scotland tidak akan 'dibuli' oleh London jika memilih untuk keluar dari UK.

Scotland akan mengadakan pungutan suara pada 18 September ini bagi mengetahui masa depan negara berkenaan yang sudah 300 tahun bersama UK.