Pemimpin politik Iran sememangnya dikuasai oleh Majlis Syura untuk memastikan mereka setia kepada revolusi Islam de­ngan kuasa mutlak terletak pada Pemimpin Tertinggi, Ayatollah Ali Khamenei.

Hasan dikecam kerana me­nga­malkan dasar ekonomi penjimatan dan neoliberal dengan mengorbankan golongan miskin namun beliau masih kekal popular dalam kalangan ramai golo­ngan kelas menengah.

Seperti mentornya, Akbar Hashemi Rafsanjani yang me­ninggal dunia pada Januari 2017, beliau telah menunjukkan ke­upayaannya untuk menukar arah pentadbiran dan mengakui ba­nyak perkara perlu dilakukan untuk melindungi masyarakat yang lebih miskin.

Ramai melihat protes besar-besaran itu sebenarnya bakal mem­beri beliau lebih banyak peluang untuk melaksanakan pembaharuan yang lebih radikal.

Perhatian dunia turut terarah kepada pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang lantang mengutuk pemerintah Iran dan memberi isyarat jelas sokongannya terhadap protes antikerajaan itu.

Keputusan mengenai dasar AS terhadap republik Islam itu kelihatan lebih berisiko daripada yang dilakukan seminggu sebe­lumnya.

Demonstrasi yang tercetus di Iran melibatkan keadaan ekonominya, dan Trump mesti memutuskan pada pertengahan bulan Januari ini sama ada untuk terus mengetepikan sekatan AS ke atas eksport minyak Iran di bawah syarat perjanjian nuklear antarabangsa yang dimeterai pada tahun 2015.

Pengecualian sekatan dimasukkan dalam perjanjian nuklear 2015 dengan Iran yang akan mengurangkan tekanan ekonomi ke atas Teheran sebagai pertukaran untuk menghadkan program nuklearnya.

Sekiranya beliau mengenakan semula sekatan minyak ke atas Iran, tindakan itu akan memburukkan lagi keadaan ekonomi kepada pemimpin Iran.

Mengembalikan semula sekatan ke atas eksport utama Iran secara tidak langsung memberi lampu hijau kepada Teheran untuk menyalahkan AS sebagai punca utama masalah ekonomi di negara itu.

Tindakan itu sekali gus akan menghantar mesej yang salah mengenai sokongan AS kepada rakyat Iran di tengah-tengah cabaran paling berani terhadap kepemimpinan negara itu dalam tempoh lebih sedekad.