The Guardian melaporkan, purata orang dewasa AS mempunyai berat badan berlebihan, kurang beberapa kilogram (kg) untuk mencapai tahap obesiti, disumbang oleh faktor peningkatan berat badan dalam kumpulan penduduk terutamanya orang kulit putih dan Amerika Latin.

Secara keseluruhan, purata ketinggian bagi lelaki jatuh sedikit berbanding rekod dica­tatkan beberapa dekad lalu namun ia tidak melibatkan wanita.

Jurucakap Pusat bagi Pencegahan dan Kawalan Penyakit (CDC) AS, Cynthia Ogden berkata, faktor utama menyumbang kepada masalah itu disebabkan oleh kependudukan negara ini.

“Berlaku peningkatan orang Mexico kelahiran Amerika yang menyumbang dua pertiga penduduk Amerika Latin di AS dan kumpulan itu didapati sedikit pendek,” katanya.

Laporan itu berdasarkan tinjauan kesihatan pada 2015-2016 yang mengukur ketinggian dan berat badan melibatkan lebih 5,000 orang responden dewasa.

Ketika ini, purata ketinggian lelaki AS adalah 1.7 meter atau 25 sentimeter (cm) lebih rendah berbanding yang dicatatkan sedekad lalu.

Berat badan lelaki dewasa mencatatkan peningkatan tambahan sebanyak 13.6 kilogram daripada berat 75.2 kg yang direkodkan pada sekitar 1960-an.

Purata berat bagi wanita pada awal 1960-an mempunyai tinggi 1.6 meter dan berat 63.5 kg.

Ketika ini, wanita dilaporkan secara purata lebih tinggi 1.2 cm dan berat meningkat 13.6 kg. – AGENSI