Pengundian untuk meluluskan undang-undang berkenaan akan diadakan esok.

Presiden AS, Donald Trump memberitahu Dewan Republikan bahawa beliau akan menyokong sebarang rang undang-undang imigresen yang diluluskan mereka, kata jurucakap White House.

Kongres yang dikuasai ahli parti Republikan berada dalam keadaan tertekan untuk menyekat dasar berkenaan selepas ia mencetuskan kemarahan di seluruh negara tetapi Trump sebelum ini mempertahankan dasar itu sebagai perlu bagi menghalang pendatang menyeberang sempadan secara haram.

Masih belum jelas sama ada terhadap sebarang kemajuan dicapai tetapi jurucakap White House Raj Shah berkata, Trump memberitahu ahli Parlimen itu bahawa beliau akan menyokong undang-undang imigresen.

Sementara itu, ketika berucap dalam sebuah konvensyen perniagaan, Trump berkata, kanak-kanak perlu diambil jika ibu bapa mereka dipenjarakan kerana ke­salahan menyeberangi sempadan Amerika Syarikat (AS) secara ha­ram.

Terdahulu Trump itu telah mencetuskan kemarahan apabila memuat naik status dalam Twitter bahawa pendatang tanpa dokumen akan ‘mengerumuni’ AS.

Menteri Luar Mexico, Luis Vi­degaray menyelar polisi AS yang disifatkan sebagai ‘kejam dan tidak berperikemanusiaan’.

Semalam Trump bertemu de­ngan ahli Parlimen parti Republikan bagi membincangkan rang undang-undang yang dicadangkan untuk menyekat polisi tersebut.

“Saya tidak mahu kanak-kanak diambil daripada ibu bapa mereka tetapi jika kamu mendakwa ibu bapa terbabit kerana memasuki negara ini secara haram, kamu kena ambil kanak-kanak ini,’’ katanya yang dilaporkan por­tal BBC.

Pemimpin AS itu berkata, beliau mahu ‘menamatkan krisis sempadan’ dengan memberi para pegawai sempadan kuasa untuk ‘menahan dan memindahkan kesemua keluarga pendatang haram.’

Pegawai-pegawai Imigresen AS berkata, seramai 2,342 kanak-kanak telah dipisahkan daripada seramai 2,206 ibu bapa bermula 5 Mei sehingga 9 Jun lalu ketika serbuan ‘toleransi sifar’ terhadap pendatang haram yang dikemukakan Peguam Negara, Jeff Sessions.

Pada Isnin lalu, Sessions menolak dakwaan bahawa kem pe­nempatan kanak-kanak yang dipisahkan daripada ibu bapa mereka se­perti kem pe­nempatan Nazi.

Semalam, Trump terpak­sa bersemuka dengan ahli Parlimen Demokrat yang berang dan melancarkan bantahan besar-besaran terhadap dasar itu di Capitol Hill.