Menurut laporan Mail Online, rakan baik Pitt itu mendakwa, pada masa ini aktor ber­kenaan mendiamkan diri kerana sedang memberi tumpuan kepada anak-anaknya.

“Pitt tidak menerkam Maddox semasa pergaduhan dalam jet peribadi ke Los Angeles, malah tuduhan itu melampau dan palsu,’’ katanya.

Dia berkata, amat malang bagi keluarga aktor berkenaan apabila ada pihak mahu meneruskan kempen itu terhadap Pitt yang jelas melukakan hati semua pihak.

“Keluarga ini mempunyai ibu bapa yang penyayang, namun mereka juga pernah berselisih faham. Itu perkara biasa dalam sebuah keluarga.

“Saya berharap masyarakat dapat memberi masa kepada mereka untuk mencari jalan penyelesaian,’’ ujarnya.

Rakan Pitt turut menjelaskan, aktor berkenaan setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan buruk terhadap Jolie dan amat menghormati ibu kepada anak-anaknya itu.

Selain itu katanya, Pitt mahu memastikan semua enam anaknya merasa selesa dan­ selamat.

Menurut laporan US Weekly, pergaduhan antara Maddox dan Pitt telah dirakamkan oleh kamera dalam jet peribadi itu.

Malah, satu sumber yang mendakwa telah melihat rakaman itu turut menyokong kenyataan rakan Pitt dan memberitahu aktor tersebut ba­nyak kali menjerit dalam video tersebut, namun tiada sentuhan fizikal berlaku.

Pergaduhan antara dua beranak itu kini masih dalam siasatan oleh FBI serta Bahagian Perkhidmatan Keluarga dan Kanak-Kanak Los Angeles.