Empat lagi parti yang baharu ditubuhkan dan layak bertanding pada pilihan raya umum 2019 ialah Partai Solidaritas Indonesia, Partai Kerja Rakyat Indonesia, Partai Rakyat dan Partai Rakyat Berdaulat.

Partai Solidaritas Indonesia dianggotai anak-anak muda di bawah pimpinan personaliti televisyen tempatan Grace Natalie.

Media-media tempatan, hari ini memetik Ketua Pengarah Pendaftaran Parti Politik, Baroto sebagai berkata, kelima-lima parti politik itu layak bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, pihaknya menerima lapan permohonan penubuhan parti baharu, tetapi tiga daripadanya iaitu Partai Pribumi, Partai Beringin Karya dan Partai Abad Sejahtera Indonesia masih belum memenuhi syarat pendaftaran.

Sejak Indonesia membuka pintu demokrasi selepas reformasi 1998, sebanyak 48 buah parti telah mendaftar untuk bertanding pada pilihan raya umum 1999 dan sejak itu penubuhan parti-parti politik baharu bertambah pada setiap musim pilihan raya.

Sementara itu, Rhoma Irama dipetik sebagai berkata, perjuangan utama parti pimpinannya ialah menghapuskan rasuah dan memperkasakan Suruhanjaya Pembanterasan Rasuah di negara ini.

Setelah menerima kelulusan pendaftaran, parti Idaman akan membuka cawangan di seluruh daerah di Indonesia dan melantik pemimpin kawasan sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang. – BERNAMA