RAJA BHUMIBOL ADULYADEJ

Istana Thailand dalam satu kenyataan mengumumkan, Raja Bhumibol yang merupakan raja paling lama memerintah di dunia menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3.52 waktu tempatan.

Kemangkatan baginda meng­akhiri pemerintahan selama tujuh dekad yang juga merupakan lambang perpaduan di negara ini sejak memegang takhta pada 1946.

Lebih 1,000 rakyat Thailand berkumpul di depan hospital untuk memberikan penghormatan dan meratapi pemergian raja kesayangan mereka selepas menerima berita kematian ba­ginda.

“Saya berasa begitu sedih dengan berita ini. Baginda telah menyumbang jasa dalam ba­nyak perkara di negara ini,” kata Apinut Jaroonpipatkul, seorang penuntut perubatan berusia 25 tahun yang turut menunggu di luar hospital.

Sejak sedekad lalu, tahap kesihatan Raja Bhumibol yang berkuasa sejak 1946 itu terus merosot, dan pada tahun ini buat kali pertama baginda ‘dilepaskan’ daripada mengikuti tugas-tugas kenegaraan atas nasihat doktor.

Kali terakhir baginda dilihat di khalayak ramai pada 11 Janu­ari lalu, dan dikatakan lebih banyak menghabiskan masa di istana serta hospital kerana pelbagai jenis penyakit yang dialami.

Putera lelaki beliau ber­usia 63 tahun, Putera Mahkota Maha Vajiralongkorn, dijangka mengambil alih takhta sebagai Raja Thailand yang baharu.

Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha berkata, pewaris takhta negara itu telah ditetapkan sejak tahun 1972 dan kabinet akan maklumkan Parlimen mengenai perkara tersebut.

Beliau turut mengumumkan tempoh berkabung selama setahun dan mengarahkan ben­dera dikibarkan separuh tiang di semua bangunan kerajaan dan sekolah selama 30 hari bermula esok serta meminta semua sambutan perayaan dibatalkan selama tempoh tersebut. – REUTERS/AFP