RT melaporkan, misteri perubatan yang membingungkan pakar dicatatkan antara Jun dan November 2016 apabila tiga bayi dilahirkan tanpa lengan di Vitrolles, wilayah Bouches-du-Rhône ketika lapan kes serupa dicatatkan berdekatan kawasan Ain.

Siasatan berhubung misteri tersebut bermula pada Oktober tahun lalu dan kerajaan berjanji untuk memberi perkembangan terkini semalam namun tiba-tiba ditangguhkan, sekali gus menyebabkan ibu bapa kepada kesemua bayi tersebut menjadi tidak sabar serta curiga.

Dalam satu surat terbuka kepada pegawai kesihatan awam, sekumpulan ibu bapa menyatakan keraguan tentang siasatan itu dan menyatakan soalan mereka ‘tidak mempunyai jawapan jelas’ kerajaan.

Sementara itu, sebuah badan kesihatan yang memantau kea­daan kecacatan, Remera menjalankan siasatannya sendiri tahun lalu.

Golongan ibu ditemubual dengan kaji selidik yang meluas berhubung gaya hidup bagi melihat sama ada wujud persamaan antara kehamilan mereka.

Pengarah Remera di tenggara negara ini, Emmanuelle Amar merumuskan bahawa satu-sa­tunya perkara yang mempu­nyai persamaan antara kesemua ibu bapa kepada bayi-bayi ber­kenaan adalah mereka tinggal di kawasan pedalaman.

Remera percaya, racun serangga perosak yang digunakan secara meluas di kawasan luar bandar adalah punca utama ekoran wujud kes serupa melibatkan lembu dan ayam di Ain.

Amar berkata, pihak berkuasa tempatan enggan mendengar penjelasan daripada Remera. – AGENSI