Ketuanya, Fransiskus Bambang Soelistyo membuat pengumuman itu, sehari selepas pihak tentera memutuskan untuk menarik diri daripada usaha mencari dan menyelamat selepas 31 hari operasi mencari dan menyelamatkan itu dijalankan.

Sebanyak 162 penumpang dan anak kapal berada di dalam pesawat itu ketika nahas itu berlaku.

Fransiskus berkata, operasi itu ha­nya akan dihentikan sekiranya tidak ada lagi mayat penumpang pesawat itu ditemukan dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Dalam tempoh seminggu ini, kami akan menilai (penca­rian kami) bergantung kepada hasilnya.

“Sekiranya kami boleh menemukan satu atau dua lagi mayat, hal ini bermakna kami mempunyai peluang untuk memanjangkan operasi ini,’’ kata Bambang, hari ini.

Tentera Indonesia, semalam memutuskan untuk menarik diri daripada menyertai operasi itu dan memohon maaf kepada keluarga penumpang pesawat itu selepas sebulan menjalankan operasi mencari.

Setakat ini hanya 70 mayat penumpang pesawat itu telah ditemui.

Operasi mencari dan menyelamat secara multinasional di Laut Jawa berharap lebih banyak mayat ditemukan selepas bahagian badan utama pesawat AirAsia itu ditemukan.

Bagaimanapun, ekoran cuaca buruk dan kadar penglihatan bawah air yang rendah menjejaskan usaha pasukan penyelam untuk meneruskan usaha mencari dan menyelamat.

Dalam perkembangan berasingan, dua pakar penerbangan berkata, siasatan mengenai punca nahas melibatkan pesawat Air Asia Indonesia QZ8501 kini tertumpu kepada rekod penyelenggaraan bahagian utama sistem kawalan automatik, dan bagaimana juruterbang mengendalikan pesawat sekiranya ia gagal berfungsi.

Gangguan pada sistem komputer berkembar pesawat (Flight Augmentation Computers - (FAC)) bukanlah punca utama menyebabkan pesawat berkenaan terhempas dan tanpanya, juruterbang perlu bergantung kepada kemahiran menerbangkan pesawat secara manual, kemahiran yang selalulnya meregang ketika berlakunya kecemasan di udara secara tiba-tiba. - REUTERS