Sehingga kini, 63,000 buah rumah di kawasan berkenaan terputus bekalan elektrik.

Pihak berkuasa turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak berada di luar kediaman masing-masing bagi mengelak terperangkap dalam banjir berikutan ramalan hujan lebat hari ini yang dijangka mencecah paras 250 milimeter.

Pesuruhjaya Perkhidmatan Ke­cemasan dan Kebakaran Queensland, Katarina Carrol berkata, pihaknya telah menerima dua laporan kejadian mangsa yang terperangkap dalam kenderaan masing-masing.

Beliau turut memaklumkan pihaknya kini memberi tum­puan terhadap usaha menyelamat mangsa banjir.

Amaran Carrol itu merupakan susulan ke­nyataan Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull yang memberitahu pelan tindakan bencana alam telah diaktifkan selain menyifatkan keadaan tersebut adalah yang terburuk di Queensland.

Puting beliung Debbie yang dikategorikan sebagai taufan tahap empat melanda daerah Bo­wen dan Airlie Beach dengan kelajuan 263 kilometer sejam dan kini menghala ke kawasan darat sebagai ribut tropika.

Ketua Menteri Queensland, Annastacia Palaszczuk berkata, setakat ini, tiga orang disahkan mengalami kecederaan tetapi jumlahnya dijangka meningkat.

“Pagi ini, penduduk Queensland bangun daripada tidur de­ngan menyaksikan kemusnahan yang berlaku kepada masyarakat setempat,” katanya.

Beliau turut menggesa syarikat insurans agar ‘melayan mangsa dengan cara terhormat’ berikutan bencana alam itu.

Majlis Insurans Australia mengisytiharkan puting beliung itu sebagai ‘malapetaka’.

Pasukan pertahanan Australia telah dihantar ke Queensland untuk membaik pulih infrastruktur tetapi syarikat elektrik negeri itu masih belum dapat memastikan tempoh bekalan elektrik akan pulih sepenuhnya.

Dalam pada itu Profesor David King dari Universiti James Cook berkata, walaupun puting beliung itu kini dikategorikan sebagai ribut tetapi kehadirannya diharap dapat membawa hujan untuk membantu petani yang terjejas akibat kemarau di beberapa buah kawasan di negara ini.