Menurut Adel, permintaan Qatar untuk mengantarabangsakan Mekah dan Madinah adalah sangat agresif serta tidak boleh di­terima.

“Kami berhak bertindak balas kepada sesiapa yang cuba me­lakukan tindakan se­perti itu,” katanya yang dipetik oleh stesen te­levisyen al-Arabiya.

Sementara itu, Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed Abdulrahman al-Thani, membidas dakwaan berkenaan dengan menegaskan tiada pegawai negara itu mengemukakan permintaan seperti itu.

“Kami sudah bosan menjawab kenyataan palsu dan cerita yang diada-adakan,” jelasnya kepada Al-Jazeera.

Sebelum ini, Qatar mendakwa Arab Saudi cuba mempolitikkan ibadah haji selain melahirkan kebimbangan berhubung halangan yang dihadapi oleh rakyat mereka ketika mengerjakan haji tahun ini.

Selain itu, Qatar turut menu­duh Arab Saudi cuba membahayakan jemaah haji Qatar de­ngan menolak untuk menjamin keselamatan mereka.

Arab Saudi dan sekutunya telah memboikot Qatar sejak 5 Jun lalu, mendakwa negara itu menyokong kumpulan pelampau dan menjalin hubu­ngan dengan puak Syi­ah di Iran.

Pada 20 Julai lalu, Riyadh berkata bahawa rakyat Qatar yang ingin melaksanakan haji tahun ini akan dibenarkan memasu­ki Arab Saudi tetapi dikenakan sekatan tertentu.

Dalam perkemba­ngan berlainan, ulama Syiah Iraq terkemuka, Moqtada al-Sadr membuat kunjungan rasmi ke Arab Saudi semalam, di mana beliau bertemu dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman dan para pegawai lain.

“Kami sangat gembira kerana pertemuan ini adalah satu kejayaan positif dalam hubungan antara Iraq dan Arab Saudi,” kata kenyataan dikeluarkan oleh pejabat Moqtada.