Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir melanjutkan tempoh yang sepatutnya berakhir tengah malam semalam bagi membolehkan Doha memberi maklum balas positif terhadap tuntutan itu.

Berdasarkan kenyataan bersama yang dikeluarkan agensi berita SPA, keputusan itu dibuat selepas mereka bersetuju de­ngan permintaan pemimpin Kuwait yang merupakan orang te­ngah dalam menyelesaikan krisis berkenaan.

Kerajaan Kuwait memohon agar tempoh berkenaan dilanjutkan ekoran pengumuman Qatar yang memaklumkan akan menyerahkan jawapannya kepada Emir Kuwait, Sheikh Sabah al-Ahmad Al-Sabah hari ini.

Keempat-empat negara ber­kenaan mengumumkan pada 5 Jun lalu untuk memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar sekali gus mencetuskan krisis diplomatik paling te­ruk di rantau berkenaan.

Mereka menuduh Doha menyokong keganasan dan kumpulan pelampau selain mempunyai hubungan rapat dengan Iran, namun dinafikan Qatar.

Pada 22 Jun lalu, keempat-empat negara itu mengemukakan 13 tuntutan dan memberi Doha tempoh 10 hari untuk mematuhi tuntutan tersebut.

Antara tuntutan Riyadh termasuk mahu Doha menghentikan sokongan kepada kumpulan Ikhwanul Muslimin, penutupan stesen televisyen Al-Jazeera, mengurangkan hubungan diplomatik dengan Iran dan menutup pangkalan tentera Turki di negara itu.

Sehingga kini Qatar telah memberi bayangan menolak semua tuntutan berkenaan. – AFP