Pelan itu akan menyaksikan semenanjung Qatar terpisah dari tanah besar Arab Saudi, menjadi tekanan terbaharu dalam pertikaian antara kedua-dua negara yang masih berlarutan sejak 14 bulan lalu.

“Saya tidak sabar menunggu butiran mengenai pelaksanaan projek pulau Salwa, projek hebat dan bersejarah yang akan mengubah geografi rantau ini,” kata Saud al-Qahtani, penasihat kanan kepada Mahkota Putera Mohammed Salman, di Twitter.

Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain dan Mesir telah memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar pada bulan Jun tahun lalu selepas mendakwa negara itu menyokong keganasan dan mengadakan hubungan yang terlalu rapat dengan Iran.

Pada bulan April lalu, laman sesawang berita pro-kerajaan Sabq melaporkan, kerajaan bercadang untuk membina terusan sepanjang 60 kilometer dan lebar 200 meter lebar merentasi sempadan dengan Qatar.

Jelas laporan itu, sebahagian daripada terusan yang bakal menelan kos hingga 2.8 bilion riyal (RM3.07 bilion) itu akan dikhaskan untuk kemudahan sisa nuklear yang telah dirancang pembinaannya.

Pada Jun lalu, akhbar Makkah melaporkan, lima syarikat yang pakar dalam penggalian terusan telah dijemput untuk membida projek itu dan pemenang akan diumumkan pada bulan depan.

Pihak berkuasa Arab Saudi yang dihubungi bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen dan tiada reaksi segera diberikan Qatar tentang rancangan tersebut.

Sejak krisis tercetus, sempadan Qatar ditutup dan syarikat penerbangannya dihalang daripada menggunakan ruang udara negara jiran manakal penduduk Qatar diusir dari negara-negara yang menyertai boikot tersebut.

Usaha damai diketuai oleh Kuwait dan Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai pangkalan udara terbesar di Qatar sehingga kini gagal menyelesaikan perselisihan tersebut. – AFP