Demikian amaran yang dikeluar­kan oleh Korea Utara, sehari selepas Sistem Terminal Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi (THAAD) milik AS tiba di Korea Selatan, semalam.

Dalam satu wawancara eksklu­sif bersama CNN, pegawai kerajaan Korea Utara, Sok Chol-won memberitahu, pihaknya tidak pas­ti bila Pyongyang akan menga­dakan ujian nuklear keenam namun menegaskan, Korea Utara sama sekali tidak terpengaruh de­ngan perkembangan negara luar.

“Ujian nuklear adalah satu bahagian penting dalam usaha berterusan kami untuk menguatkan senjata nuklear negara ini. Selagi AS meneruskan tindakan pencerobohan, kami tidak akan menghentikan ujian peluru berpandu dan nuklear,” katanya.

Chol-won memegang jawatan Pengarah Institut Hak Asasi Manusia Korea Utara di Akademi Sains Sosial namun beliau dibenarkan membuat kenyataan terhadap pelbagai isu berbangkit.

Kenyataan Chol-won dibuat ketika anggota Kabinet tertinggi AS menegaskan kepentingan untuk mengenakan sekatan ekonomi dan tekanan diplomatik bagi mengekang Korea Utara dan mencadangkan sesi dialog diadakan semula.

Ini selepas mereka mendengar taklimat Dewan Senat tentang ancaman yang boleh dibawa oleh program peluru berpandu dan nuklear Pyongyang.

Chol-won dalam pada itu menegaskan, latihan artileri besar-besaran kelmarin diadakan sebagai amaran kepada Presiden AS, Donald Trump.

“Latihan itu adalah tindak balas langsung terhadap perbuatan pencerobohan AS,” tegasnya.

Sementara itu, ketika latihan ketenteraan dan pengerahan aset ketenteraan oleh Korea Utara dan AS serta sekutunya berlangsung, perang terbabit mungkin tidak berlaku.

“Kita berada dalam fasa perang palsu,” kata Pengarah Program Keselamatan Antarabangsa di Institut Lowy Sydney, Euan Graham.

Sementara itu, keseluruhan anggota Senat AS diberikan taklimat mengenai situasi Korea Utara semasa mesyuarat luar biasa di White House, semalam.

“Kami diberikan maklumat yang tidak dapat anda baca di akhbar,” kata Senator Demokrat dari Oregon, Jeff Merkley.

Satu kenyataan bersama oleh Setiausaha Negara AS, Rex Til­lerson; Setiausaha Pertahanan, James Mattis dan Pengarah Risikal Nasional, Dan Coats yang di­siarkan selepas taklimat itu menjelaskan, AS memberi tumpuan kepada kestabilan dan keamanan tanpa senjata nuklear di Semenanjung Korea.

“Kami sentiasa terbuka kepada rundingan ke arah itu namun kami kekal bersedia untuk mempertahankan diri dan sekutu kami,” kata kenyataan itu.

Ketika ditanya tentang tiga warga AS yang ditahan di Korea Utara ketika ini termasuk Kim Sang-duk yang ditahan Sabtu lalu, Chol-won menjelaskan, ke­semua mereka ditahan dalam situasi yang sama dihadapi banduan.

Bagaimanapun beliau menafikan dakwaan oleh pengkhianat yang pernah berada di kem tahanan Korea Utara, yang dipercayai menempatkan hampir 120,000 banduan.

“Mereka adalah penjenayah yang melarikan diri dan mene­rima bayaran untuk bercakap bohong yang digalakkan oleh AS dan pengikutnya.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mahu mempolitikkan isu hak asasi manusia dan menggunakannya untuk mengganggu hal ehwal dalaman kami. Laporan mereka tidak betul dan hanya fiksyen,” kata Chol-won.