Agensi berita Pyongyang, KCNA melaporkan, ujian berkenaan yang diadakan di Laut Jepun dipantau sendiri oleh Jong-un.

Namun, Kementerian Pertahanan Korea Selatan mendakwa ujian terbabit gagal kerana misil tersebut hanya mencapai jarak 30 kilometer.

Agensi berita KCNA memetik kenyataan pemimpin Korea Utara tersebut sebagai berkata, Pyongyang kini mampu menyerang Korea Selatan dan AS pada bila-bila masa.

“Kejayaan ini merupakan pencapaian besar bagi saintis dan juruteknik yang terlibat dalam bidang pertahanan, sekali gus menjadi hadiah terhebat kepada pemimpin dan parti yang memerintah Korea Utara,” jelas laporan tersebut.

Ekoran ujian peluru berpandu terbaharu itu, AS dan Britain mengecam tindakan Pyongyang yang secara jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menggesa republik tersebut agar tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menjejaskan kestabilan serantau.

Korea Utara setakat ini telah dikenakan pelbagai sekatan yang lebih ketat susulan kedegilan­ Pyongyang meneruskan ujian nuklear dan peluru berpandu jarak jauh pada awal Januari dan Februari lalu.

Dalam perkembangan berasingan, Menteri Luar Korea Utara, Ri Su-yong berkata, Pyongyang sedia menghentikan ujian nuklear sekiranya AS menghentikan latihan ketenteraan bersama Korea Selatan yang diadakan setiap tahun.

Sambil mempertahankan pembangunan senjata nuklear negara ini, yang disifatkan sebagai sistem pertahanan Korea Utara, Su-yong menjelaskan bahawa pintu rundingan dengan Seoul akan kembali terbuka, jika kerjasama ketenteraan antara Seoul dan Washington dihentikan, sekali gus meredakan ketegangan antara kedua-dua pihak.

“Jika konfrontasi ini berterusan, kesan yang buruk bakal menimpa bukan sahaja kepada Seoul dan Pyongyang, tetapi seluruh dunia.

“Hentikan latihan perang nuklear di semenanjung Korea, dan Pyongyang bersedia menghentikan ujian nuklearnya,” katanya.– AFP/AGENSI