Agensi berita rasmi Korea ­Utara, KCNA memetik kenyataan Jong-un sebagai berkata, ­situasi tidak menentu di semenanjung Korea mencetuskan keadaan yang bahaya, sekali gus perlu menukar strategi ketenteraan kepada ‘serangan awal’.

“Peluru berpandu berkuasa nuklear perlu berada dalam kea­daan bersiap sedia untuk dilancarkan pada bila-bila masa,” kata Jong-un.

Menurut KCNA, kenyataan Jong-un itu dikeluarkan selepas pemimpin Korea Utara itu memantau ujian peluru berpandu terbaharu yang diadakan semalam, hanya beberapa jam selepas PBB mencapai persetujuan sebulat suara untuk mengenakan sekatan yang lebih ketat terhadap Pyongyang.

Sekatan terbaharu itu diluluskan ekoran tindakan Korea Utara menjalankan ujian nuklear keempatnya pada 6 Januari lalu disusuli dengan pelancaran roket jarak jauh pada awal bulan lalu.

Dalam perkembangan sama, Amerika Syarikat (AS) tidak memandang ringan ancaman Pyongyang tersebut, walaupun Wa­shington meragui keupayaan Korea Utara untuk melancarkan serangan nuklear.

Sumber pertahanan AS me­laporkan, pihak tentera sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk mematahkan sebarang se­rangan sekiranya perlu.

“Kami tidak melihat Korea ­Utara menguji atau mempamerkan keupayaan senjata nuklear dan menggunakannya pada peluru berpandu balistik,” kata sumber terbabit.

Sementara itu, sekutu kuat Korea Utara, China mengadakan perbincangan secara rasmi de­ngan AS dan Korea Selatan berhubung pelan meletakkan sistem pertahanan canggih dilengkapi antipeluru berpandu di Seoul.

Beijing dan Moscow membantah cadangan tersebut yang disifatkan boleh merosakkan hubu­ngan China dan Korea Selatan. – AFP