Agensi berita Korean Broadcasting System yang memetik sumber perisik mendedahkan, pegawai perisikan Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) mengesan aktiviti pemindahan peluru berpandu itu.

Aktiviti tersebut dipercayai dilakukan dari bangunan Penyelidikan dan Pembangunan Peluru Berpandu Korea Utara di Sanum-dong dekat utara Pyongyang.

Bagaimanapun, laporan tersebut tidak mendedahkan bila atau ke mana peluru berpandu terbabit dipindahkan.

Menurut agensi berita terbabit, peluru berpandu itu jenis Hwasong-12 dengan jarak sederhana atau peluru berpandu rentas be­nua Hwasong-14.

Sementara itu, sumber Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, mereka masih tidak dapat mengesahkan butiran laporan sama ada berlaku aktiviti seperti yang didakwa di kawasan terbabit.

Pada masa sama pegawai Korea Selatan menyuarakan kebimbangan terhadap ancaman Korea Utara menjelang ulang tahun penubuhan Parti Komunis negara itu pada 10 Oktober depan atau ketika China mengadakan Kong­res Parti Komunis pada 18 Oktober ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara AS, Rex Tillerson tiba di China hari ini bagi mengadakan perbincangan berhubung perancangan pelancaran nuklear oleh Korea Utara selain daripada lawatan Presiden Donald Trump November ini.

Tillerson dijangka mengadakan pertemuan dengan Presiden China, Xi Jinping selepas berjumpa dengan semua diplomat tertinggi dan Menteri Luar China, Wang Yi hari ini.

Lawatan Trump kali ini dijang­ka mengeratkan lagi hubungan dua kuasa besar dunia terutama selepas ketegangan menangani nuklear Korea Utara oleh Kim Jong-un. –AFP