Larangan yang bermula semalam itu diumumkan dalam persediaan­nya untuk ‘ditabalkan’ sebagai pemimpin tertinggi sempena Kong­res Parti Pekerja yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

Menurut laporan portal Daily Mirror, tindakan tersebut bertujuan meningkatkan tahap keselamatan terutama di ibu negara.

Pemerhati politik berpandang­an, kongres parti yang diadakan buat kali pertama bagi tempoh 36 tahun itu akan mengukuhkan kedudukan Jong-un dalam pentadbiran negara.

Jurucakap Kementerian Penya­tuan Korea Selatan, Cheong Joon-hee berkata, Pyongyang mengambil langkah sama setiap kali mengadakan acara rasmi kerajaan termasuk menutup sempadan Korea Utara-China atas faktor keselamatan.

“Langkah meningkatkan tahap keselamatan merupakan cara mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku ketika kongres parti berlangsung,” katanya.

Beribu-ribu delegasi dijangka menghadiri kongres tersebut bermula Jumaat ini yang bakal berlangsung selama empat atau lima hari.

Berdasarkan laporan portal tempatan, Daily NK, tahap keselamatan mula ditingkatkan sejak pertengahan bulan lalu apabila pergerakan di kawasan ibu negara dihadkan, manakala anggota keselamatan dikerah melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.