Akhbar Washington Post yang memetik sumber kerajaan melaporkan, beberapa bukti yang dikumpulkan sejak sidang kemuncak melibatkan pemimpin kedua-dua negara diadakan pada 12 Jun lalu menunjukkan Pyongyang sengaja menyembunyikan rancangan untuk meneruskan program nuklearnya.

Stesen penyiaran NBC juga melaporkan bahawa Pyonyang baru-baru ini didakwa meningkatkan pengeluaran uranium untuk menghasilkan senjata nuklear baharu di beberapa lokasi rahsia.

NBC yang memetik seorang pegawai kerajaan AS menyatakan tiada bukti yang menunjukkan Korea Utara mengurangkan bekalan senjata nuklear mereka atau menghentikan sebarang pengeluaran.

“Secara jelas me­nunjukkan Korea Utara cuba menipu AS,” jelas pegawai tersebut.

Sumber perisikan negara juga menyebut Korea Utara di bawah pimpinan Kim Jong-un lebih rela mengabaikan kesemua persetujuan yang dicapai sebelum ini berbanding menghentikan program nuklearnya.

Dalam pada itu, Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo memaklumkan beliau bercadang untuk mengadakan pertemuan dengan Jong-un bagi mendapatkan penjelasan terperinci mengenai butiran perjanjian perlucutan program nuklear.

Jelasnya, banyak perkara yang perlu dilakukan dan diselesaikan sebelum keadaan menjadi semakin teruk.

Dalam perkembangan lain, Jong-un meminta Presiden China, Xi Jinping membantunya menamatkan sekatan antarabangsa yang dikenakan terhadap Pyongyang selepas mengadakan pertemuan dengan Trump.

Jong-un mengemukakan permohonan tersebut ketika beliau mengadakan pertemuan ketiga dengan Jinping di Beijing, China pada bulan lalu dan Presiden China itu berjanji untuk melakukan yang terbaik bagi menamatkan sekatan yang dikenakan terhadap Korea Utara. – AFP