Pusat Pemerintah Pasifik Amerika Syarikat (AS) berkata, pihaknya sedang menganalisis jenis peluru berpandu itu selepas ia tidak konsisten dengan ciri peluru berpandu balistik antara benua.

Malah, Menteri Pertahanan Jepun, Tomomi Inada mendakwa, peluru berpandu yang dilancarkan kira-kira pukul 5.27 pagi waktu tempatan itu adalah dari jenis baharu.

Pegawai kerajaan Korea Selatan dan Jepun berkata, peluru berpandu itu mencapai jarak sejauh 700 kilometer (km) dan mencecah altitud lebih 2,000 km, lebih jauh daripada peluru berpandu jarak sederhana yang dilancarkan semasa ujian pada Februari lalu dari lokasi pelancaran sama di daerah Kusong, barat laut Pyongyang.

Korea Utara didakwa sedang membangunkan peluru berpandu antara benua yang mampu membawa kepala peledak nuklear dan boleh sampai sehingga Amerika Syarikat (AS), suatu perkara yang dijamin Presiden Trump sama sekali tidak akan berlaku.

Menurut pakar, ujian terbaharu itu dipercayai peluru berpandu yang paling jauh pernah dilancarkan Pyongyang berban­ding pelancaran sebelum ini bermakna Korea Utara telah melakukan penambahbaikan terhadap senjata terbabit sejak ujian Februari lalu.

Malah, laporan altitud yang dicapai senjata itu membayangkan bahawa ia dilancarkan menerusi trajektori yang tinggi.

Pengarah bersama di Program Keselamatan Global UCS, David Wright yang juga pakar peluru berpandu berkata, jika peluru berpandu itu dilancarkan menggunakan trajektori biasa, ia ha­nya mencapai jarak 4,500 km.

Presiden baharu Korea Sela­tan, Moon Jae-in yang me­ngang­kat sumpah Rabu lalu mem­­pe­ngerusikan Majlis Keselamatan Negara beliau yang pertama sebagai tindak balas kepada ujian tersebut yang disifatkannya sebagai pencabulan jelas resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Menurut Presiden, walaupun Seoul kekal terbuka kepada dia­log dengan Pyongyang, ia hanya mungkin apabila Korea Utara menunjukkan perubahan sikap,” kata setiausaha akhbar Jae-in, Yoon Young-chan.

Sementara itu, Presiden AS menggesa sekatan lebih tegas dikenakan ke atas Korea Utara ekoran ujian terbaharu itu yang jatuh di Laut Jepun yang dikelilingi oleh Semenanjung Korea, Jepun dan timur jauh Rusia.

“Provokasi terbaharu ini merupakan gesaan kepada semua negara termasuk Rusia untuk melaksanakan sekatan lebih tegas ke atas Korea Utara,” kata kenyataan Trump.

China yang menerima tekanan daripada Washington untuk campur tangan dalam isu Pyongyang pada masa sama menggesa semua negara supaya mengawal diri mereka. – REUTERS/AFP