Laporan ABC menyebut, agensi keselamatan juga berusaha memindahkan penduduk terutama di bandar-bandar di pinggir laut dan menutup premis-premis seperti sekolah selain memberi amaran keselamatan kepada penduduk setempat.

‘Ekor angin’ puting beliung Cook yang melanda New Caledonia baru-baru ini mengorbankan satu nyawa dan kini menuju Pulau Utara.

Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran cuaca teruk terma­suk bencana tanah runtuh dan banjir dengan kelajuan angin­ sehingga 150 kilometer sejam.

Sementara itu, orang ramai digesa memberikan perhatian serius terhadap bencana berkenaan yang dilihat menyamai puting beliung Giselle sekitar 60 tahun lalu yang menyebabkan 50 kematian manakala beratus-ratus lagi cedera.

Datuk Bandar Whakatane, Tony Bonne berkata, pihaknya melahirkan kebimbangan terhadap bencana yang bakal berlaku disebabkan puting beliung Cook.

“Bencana itu amat membimbangkan dan orang ramai perlu mengambil langkah keselamatan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, pihak berkuasa pertahanan awam menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya berpindah ke kawasan lebih selamat.

Syarikat penerbangan Air New Zealand juga menangguhkan pe­nerbangan dari Lapangan Terbang Tauranga selain 500 anggota tentera diletakkan dalam kea­daan berjaga-jaga.

Puting beliung Cook juga di­ramal melanda sekitar bandar utama Auckland manakala pe­ringatan dikeluarkan supaya penduduk tidak membuat perjalanan ke luar bandar itu bagi mengelak kejadian buruk. – AGENSI