William, 34, menjelaskan kesedihan yang dialami ekoran kematian Diana akibat kemalangan tragik pada tahun 1997 itu adalah berbeza daripada orang lain kerana ‘semua orang tahu ceritanya’.

“Kesedihan itu bukan seperti kesedihan orang lain kerana semua orang tahu tentang kejadian itu, semua orang tahu ceritanya, semua orang kenal ibu saya,” katanya yang dipetik oleh portal Daily Mail.

Beliau juga mengimpikan Dia­na masih hidup untuk melihat kedua cucunya membesar selain menegaskan akan ‘berjuang’ bagi memastikan George dan Charlotte menjalani kehidupan biasa.

“Saya mengimpikan untuk mendapatkan nasihat daripada ibu, mempertemukannya de­ngan Catherine, melihat cucunya membesar. Namun semuanya membuatkan saya sedih kerana perkara ini tidak akan berlaku dan mereka tidak akan menge­nalinya lebih rapat,” ujarnya.

William yang mengalami tekanan dan kemurungan pada pertengahan tahun 1980-an ditemu bual oleh pengarang, Alastair Campbell, beberapa bulan selepas adiknya, Putera Harry membuat pengakuan hidupnya menjadi kucar-kacir selepas kematian Diana.

Beliau dan Harry menceritakan tentang kematian tragik Diana dan isu kesihatan mental sebagai sebahagian daripada kempen ‘Heads Together’.

William yang kematian ibunya semasa berusia 15 tahun mengakui masih lagi berasa terkejut dengan peristiwa itu walaupun selepas 20 tahun.

“Mereka fikir kejutan itu tidak akan berpanja­ngan tetapi hakikatnya masih berterusan. Ini merupakan perkara besar yang sukar dipercayai berlaku dalam hi­dup dan tidak akan mening­gal­kan kita tetapi kita sendiri yang perlu belajar me­ngendalikannya,” katanya.