Awal tahun ini jabatan kerajaan yang mengendalikan kemudahan pusat itu di wilayah Xinjiang itu telah membeli sebanyak 2,768 belantan polis, pencucuh elektrik (550), gari (1,367 pasang) dan sebanyak 2,792 botol penyembur lada.

Kesemua barangan itu telah dipohon oleh pihak berkuasa wilayah berkenaan awal tahun lalu untuk pengurusan dan pembinaan pusat pendidikan vokasional dan latihan.

Melalui penelitian AFP terhadap lebih 1,500 dokumen kerajaan yang terbuka kepada umum berupa laporan tender, bajet sehinggalah tugas rasmi menunjukkan pusat terbabit diuruskan seperti penjara berbanding sekolah.

Beribu-ribu pengawal dilengkapi dengan gas pemedih mata, pelbagai senjata renjat seperti `taser dan stunt gun’ dan belantan bagi mengawasi `pelajar’ dalam bangunan yang dipasang pagar kawat dan kamera infra merah.

Setiausaha pihak berkuasa Xinjiang, Chen Quanguo melalui dokumen itu menegaskan, pusat berkenaan seharusnya `mendidik seperti sekolah, di­urus seperti tentera dan dipertahankan seperti penjara’.

Dokumen lain pula menyebut, untuk membina rakyat China yang lebih baik, pusat berkenaan perlu `memutuskan keturunan, asal usul dan hubungan’ tahanan.

Pada minggu lalu stesen te­levisyen tempatan menyiarkan aktiviti salah sebuah daripada sekurang-kurangnya 181 pusat pendidikan itu yang menunjukkan para pelajar memakai baju seragam, belajar bahasa Mandarin dan kemahiran seperti mengait, menenun dan membuat kuih.

Menurut laporan itu, kema­sukan ke pusat itu adalah secara sukarela. – AFP