Beratus-ratus kakitangan pihak berkuasa tempatan Daerah Khusus Ibu Kota (DKI) Jakarta menggunakan 10 buah jentera berat meroboh dan meratakan berpuluh-puluh buah bangunan terdiri daripada kafe-kafe, pusat hiburan dan kediaman penduduk di kawasan itu.

Menurut perancangan, kawasan seluas empat hektar milik kerajaan yang diduduki secara haram sejak 1950-an lagi itu akan dijadikan satu lagi kawasan hijau terbuka di ibu kota bagi melengkapkan sekurang-kurangnya 30 peratus kawasan hijau di kota raya ini.

Kalijodo yang terletak di sempadan Jakarta Utara dan Jakarta Barat sejak lebih 50 tahun lalu dikenali sebagai kawasan hiburan malam popular untuk golongan bawahan di Jakarta yang menyediakan kafe, pusat hiburan dan wanita penghibur.

Menurut laporan media tempatan, bangunan yang pertama dirobohkan ialah Kafe Intan milik seorang tokoh masyarakat di Kalijodo yang dikenali sebagai Daeng Aziz. Lelaki itu kini ditahan polis berhubung kes pemerdagangan manusia dan pencurian elektrik di Kalijodo.

Pentadbiran DKI Jakarta memberi tempoh 11 hari bermula 18 Februari lalu sehingga hari ini kepada semua pemilik bangunan dan penduduk Kalijodo supaya merobohkan rumah-rumah dan bangunan di kawasan itu dan berpindah dari situ.

Bagaimanapun, tidak semua warga Kalijodo berbuat demikian walaupun pihak berkuasa mengeluarkan tiga surat peringatan supaya merobohkan sendiri bangunan milik mereka atau dirobohkan oleh pihak berkuasa.

Operasi perobohan hari ini berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini kerana hampir ke­semua penduduk kawasan itu termasuk pekerja-pekerja seks telah berpindah ke rumah susun (rumah pangsa) berdekatan yang disediakan oleh kerajaan atau pulang ke kampung halaman masing-masing.

Wali Kota Jakarta Utara, Rustam Effendi yang mengetuai operasi berkenaan memberitahu agensi berita Antara, sehingga pagi ini terdapat enam keluarga yang enggan berpindah walaupun telah diberi surat pe­ringatan supaya berbuat demikian dan pihaknya sedang dalam proses perundingan dengan mereka,

Katanya, keluarga tersebut me­nuntut supaya kerajaan memberikan mereka rumah pangsa hak milik dan bukannya rumah pangsa sewa sebagaimana yang diberikan kepada penduduk-penduduk lain yang sudah berpindah.

“Mereka minta dipindahkan ke rumah susun milik, sedangkan program pemerintah ialah rumah susun sewa. Jika mereka masih berdegil kita akan angkut mereka untuk berpindah,” katanya yang yakin urusan perobohan dapat diselesaikan dalam masa satu hari. – UTUSAN