Kejadian pada kira-kira pukul 12.30 tengah malam di tingkat tiga bangunan yang menempatkan pu­sat karaoke Inul Vista Manado, milik penyanyi dangdut, Inul Daratista itu dipercayai bermula dari tingkat dua, ketika ramai pengunjung sedang asyik berhibur.

Media tempatan melaporkan, seorang pekerja pusat karaoke tersebut melihat api pada sebuah pendingin udara di tingkat dua dan bertindak memadamkannya menggunakan alat memadam api tetapi gagal kerana api terus marak.

Pengunjung yang sedang berkaraoke di tingkat dua dan tiga panik apabila mengetahui ada kebakaran dan bergegas lari menyelamatkan diri. Bagaimanapun ramai yang terperangkap kerana hanya ada satu pintu keluar sahaja di tingkat dua bangunan itu.

Beberapa pengunjung yang selamat memberitahu bahawa satu lagi pintu yang sering digunakan oleh pemilik pusat karaoke tersebut terkunci.

Asap hitam pekat dan bekalan elektrik yang terputus sejurus kebakaran itu menyebabkan keadaan di ruang itu gelap dan sesak.

“Asap tebal mula memenuhi lorong di tingkat dua dan api cepat merebak kerana dinding bangunan itu diliputi kertas dinding,’’ kata Ketua Polis Daerah Manado, Rio Permana ketika mengesahkan kejadian tersebut, hari ini.

Polis percaya kebakaran ini berpunca dari litar pintas.

Katanya, ada pengunjung yang cuba keluar melalui tingkap di tingkat tiga dengan memecahkan kaca dan turun dengan bergantung pada kain langsir tingkap yang disambung-sambung, malah ada yang te­rus melompat dari tingkat tersebut.

Kebakaran tersebut dapat dipa­damkan pada kira-kira pukul 3 pagi. Kesemua mangsa yang meninggal dunia dan cedera dibawa ke Hospital Kandou Malalayang, Manado.

Sementara itu, Inul yang pernah popular dengan gelek ‘gerudi Inul’ menyifatkan kejadian tersebut sebagai peringatan kepadanya untuk melangkah lebih baik pada masa akan datang dan akan mengambil hikmah daripada bencana itu.

“Kejadian (kebakaran) terhadap usaha bisnes saya dalam sejarah 10 tahun membangunkannya menjadi peringatan buat saya untuk lebih baik lagi pada masa depan,’’ katanya dalam akaun Instagramnya, hari ini.

Katanya, kejadian itu adalah sudah ditakdirkan dan dia perlu menghadapinya dengan penuh bijaksana dan sebaik-baiknya.

– UTUSAN