Pengarah Pusat Pemindahan Darah Yemen, Dr. Adnan al-Hakimi berkata, masalah kewangan timbul selepas badan kebajikan perubatan Perancis, Medecins Sans Frontieres (MSF) memaklumkan bahawa pihaknya akan menghentikan sumbangan selepas dua tahun membantu operasi pusat berkenaan.

“Pusat darah akan berdepan dengan masalah kekurangan bekalan termasuk peralatan perubatan seperti beg darah.

“Sehubungan itu, kami te­lah memohon bantuan kerja amal daripada semua lapisan masyarakat bagi memastikan pusat darah itu tidak ditutup,” katanya.

Menurut pegawai kerajaan, pesakit yang menghidap penyakit seperti talasemia, kanser dan kegagalan fungsi buah pinggang termasuk mangsa peperangan saudara di negara itu akan menerima kesan jika pusat darah tersebut ditutup.

Lebih tiga juta penduduk Ye­men kehilangan tempat tinggal dan kebanyakan infrastruktur termasuk sistem kesihatan negara itu musnah dalam peperangan yang tercetus dua tahun lalu.

Dalam pada itu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi jaminan untuk menyediakan bantuan bekalan kepada pusat darah tersebut sambil mengesahkan ia bakal ditutup.

MSF memberi bantuan dan sokongan kepada Yemen dengan menubuhkan hospital serta klinik, selain membekalkan peralatan perubatan ketika negara itu mula terlibat dalam peperangan pada bulan Mac 2015. – REUTERS