Pengarah Kesihatan Arab Saudi, Ahmed Abdussalam berkata, jemaah haji dan pekerja serta pegawai yang terlibat dalam operasi haji perlu mengambil langkah berjaga-jaga terhadap berlakunya serangan strok haba.

Beliau yang dipetik oleh portal Saudi Gazette, cuaca panas itu juga boleh mengakibatkan pelbagai jenis kanser kulit, kulit terbakar dan alahan.

“Pelbagai kaedah mesti digunakan bagi melindungi jemaah haji daripada serangan strok haba termasuk penggunaan krim khas, menggunakan payung dan meminum banyak air, menutup kepala dan memakai pakaian yang ringan,” katanya.

Bercakap tentang simptom strok haba, Ahmed berkata, ia termasuk badan rasa terlalu panas, lemah, letih dan kekejangan otot.

“Jemaah yang diserang strok haba akan mengalami panas melam­pau, kulit terbakar, pening, sakit kepala, kulit kemerah-merahan, degupan nadi yang laju serta ke­keringan,” katanya.

Pada masa yang sama kata Ahmed, kementerian kesihatan telah meningkatkan kesediaan untuk operasi haji besar-besaran bagi memperluaskan lagi per­khidmatan kesihatan kepada lebih dua juta jemaah yang datang dari seluruh dunia.

Kerajaan telah menyediakan sebanyak 25 buah hospital di Mekah, Mina, Arafah dan Muzdalifah selain mengerah sebanyak 29,000 orang doktor, jururawat dan kakitangan perubatan untuk bertugas semasa musim haji.

Kata Ahmed, sejumlah 180 buah ambulans akan digunakan bagi membawa jemaah haji yang sakit ke hospital dan pusat kesihatan.

Sementara itu, kementerian ke­sihatan Arab Saudi turut menyediakan lebih 5,000 buah katil di hospital di Mekah dan pelbagai tempat lain di Tanah Suci.