BANGKOK 11 Nov. - Pusat beli-belah terbesar Thailand, ICONSIAM, kini membuka pintunya kepada pengunjung setelah mengambil masa lebih lima tahun untuk siap dibina. Pembukaan pusat beli-belah mega ini, yang menjadi sebahagian daripada projek pembangunan bercampur berharga Baht 54 bilion (RM7.1 bilion) dan dilengkapi dua menara kediaman mewah, akan memperkukuhkan lagi kedudukan Bangkok sebagai antara ibu kota beli-belah utama Asia, di samping Kuala Lumpur dan Singapura. “ICONSIAM lahir daripada keazaman yang kuat untuk menonjolkan segala kehebatan yang dimiliki orang Thai dan Thailand,” kata pengarah ICONSIAM Co Ltd, Chadatip Chutrakul dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. Menurut beliau, projek pembangunan komersial itu juga memiliki ‘beraneka keajaiban dari segi seni dan budaya’. Katanya, dengan keluasan ruang niaga kira-kira 9 juta meter persegi, pusat beli-belah itu menawarkan kemudahan untuk berbelanja dan berlibur terbaik, hasil kerjasama antara organisasi perniagaan kecil dan besar dari seluruh dunia. - BERNAMA