Timbalan Pesuruhjaya Biro Imigre­sen Thailand, Pornchai Kuntee berkata, kira-kira 60,000 pekerja asing mula meninggalkan negara ini sejak 23 dan 28 Jun lalu dan angka itu terus meningkat.

“Pendatang asing ini ber­asal dari pelbagai negara de­ngan kumpulan terbesar adalah Myan­mar. Mereka mungkin sangat takut,” katanya.

Berikutan berita kepulangan beramai-ramai itu, Thailand pada Jumaat lalu berjanji akan menangguhkan pelaksanaan perintah terbabit bagi 120 hari lagi termasuk denda yang mungkin berjumlah antara 800,000 baht (RM100,725) bagi majikan yang menggaji pekerja asing tanpa permit.

Jutaan pekerja asing dari negara miskin seperti Kemboja dan Myanmar membentuk ‘tulang belakang’ kepada tenaga kerja di Thailand bagi menyokong industri seperti perniagaan makanan laut yang bergantung sepenuhnya kepada pendatang.

Seorang pekerja dari Myanmar, Geta Devi, 28, berkata, beberapa rakannya menjadi panik dengan pelaksanaan undang-undang itu.

“Ramai daripada mereka kini pulang ke Myanmar,” katanya.

Timbalan Ketua Pejabat Perhubungan Sempadan Thailand-Kemboja, Chin Piseth berkata, sejak minggu lalu, kira-kira 500 pekerja asing dari Kemboja te­lah kembali ke tanah air mereka.

“Berdasarkan maklumat yang saya terima, antara 400 hingga 500 telah diusir,” katanya.

Pakar hak pekerja asing dari Britain, Andy Hall berkata, pergerakan besar-besaran pekerja asing itu menjadikan mereka kini terdedah kepada bahaya.

“Agak jelas kepada saya puluhan ribu pendatang asing ini mengambil langkah untuk pulang selepas didesak,” katanya.

Jelas beliau, selain takut akan dihukum, pekerja asing juga bimbang akan menjadi mangsa rasuah pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Keuntungan besar dapat dibuat dalam masa yang singkat daripada keadaan panik dan kelam kabut,” tambahnya. – REUTERS