BBC melaporkan, video yang dirakam pada 15 Disember itu me­nunjukkan sekumpulan wanita termasuk Ahed Tamimi, 17, menjerit, memukul dan menendang dua anggota tentera Israel yang lengkap bersenjata.

Video itu dipercayai disebarkan menerusi media sosial dan rakyat Palestin menganggap gadis itu sebagai wira yang berani menentang penindasan Israel.

Ahed kini berdepan dengan 12 dakwaan termasuk melakukan serangan yang serius dan memba­ling batu.

Keluarga gadis itu berkata, kejadian berkenaan berlaku ketika tunjuk perasaan diadakan di Tebing Barat dan menganggap ‘serangan’ tersebut adalah tidak salah di sisi undang-undang.

Pihak berkuasa tentera Israel mendakwa dua anggotanya yang terdapat dalam video tersebut ditugaskan untuk menghalang rakyat Palestin membaling batu ke arah pemandu kereta.

Pada Ahad lalu, sepupu Ahed, Nour Tamimi pula didakwa menyerang dan mengganggu tentera Israel daripada menjalankan tugas mereka, malah ibunya yang me­rakam video berkenaan turut didakwa.

Selain itu, bapa Ahed, Bassem Tamimi memaklumkan bahawa pasukan tentera Israel menyembur gas pemedih mata dan memecahkan tingkap rumah mereka sewaktu anaknya ditahan.

Katanya, seorang lagi sepupu Ahed iaitu Mohammed yang berusia 14 tahun juga ditembak pada muka oleh tentera Israel dengan menggunakan peluru getah.

“Saya berasa bangga dengan apa yang dilakukan oleh anak perem­puan saya biarpun Israel menganggap kami sebagai satu propaganda,” katanya.

Dua tahun lalu, Ahed pernah dirakam menggigit tangan seorang daripada anggota tentera Israel yang sedang menahan seorang budak lelaki Palestin akibat didakwa membaling batu.