Timbalan Setiausaha Agung SPR, Sawaeng Boonmee berkata, undian semula akan diadakan di enam pusat mengundi di empat wilayah iaitu Lampang dan Yasothon melibatkan dua pusat mengundi selain masing-masing satu pusat mengundi di Phetchabun dan Phitsanulok.

Beliau berkata, kiraan semula undi pula akan dilakukan di dua pusat mengundi di daerah Nam Pong dalam wilayah Khon Kaen di timur laut Thailand.

"Keputusan ini dicapai selepas kami mendapati jumlah kertas undi yang ditandakan tidak berpadanan dengan jumlah pengundi yang keluar mengundi di kesemua pusat pengundi terbabit," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat SPR di sini hari ini.

Beliau berkata, SPR akan mengumumkan tarikh pilihan raya baharu, yang dijangka diadakan selepas Festival Songkran, cuti perayaan Tahun Baharu Thailand yang dijadual dari 13 hingga 16 April ini.

Pada 24 Mac lepas, Thailand mengadakan pilihan raya pertama selepas rampasan kuasa tentera 2014 untuk memilih 500 calon ke Parlimen, yang mana 350 daripada mereka dipilih secara terus menerusi pilihan raya manakala 150 orang lagi dipilih melalui perwakilan senarai parti.

Mengenai formula peruntukan kerusi senarai parti, Sawaeng berkata, perkara itu sedang dalam pertimbangan.

"Ini masih belum muktamad, kiraan semula dan undian semula di pusat mengundi terbabit akan memberi kesan kepada 150 peruntukan kerusi senarai parti," katanya.

Media tempatan melaporkan terdapat dua formula untuk mengira jumlah anggota Parlimen senarai parti yang boleh menyebabkan perbezaan jumlah parti anggota Parlimen.

Khamis lepas, SPR mengumumkan Palang Pracharath yang menyokong Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan-o-cha meraih 8.4 juta undi manakala Pheu Thai, parti yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra mengekori rapat selepas mengumpul 7.9 juta undi, diikuti Future Forward (6.2 juta), Demokrat (3.9 juta) dan Bhumjaithai (3.7 juta).

Pheu Thai memenangi sebahagian besar kerusi pilihan raya iaitu 137 kerusi, dikuti Palang Pracharath (97), Bhumjaithai (39), Demokrat (33) dan Future Forward (30).

SPR dijangka mengumumkan keputusan rasmi pada 9 Mei ini. – BERNAMA