Setiausaha Pertahanan AS, Ash Carter dalam kenyataan berkata, inisiatif ketenteraan baharu tersebut dilaksanakan supaya AS tidak perlu meningkatkan kehadiran secara kekal di Filipina tetapi me-nunjukkan kerjasama kedua-dua negara berhubung keselamatan ditingkatkan ketika kebimbangan terhadap tindakan agresif China di kawasan perebutan wilayah di Laut China Selatan.

Carter berkata, satu kontinjen pesawat tentera AS dan 275 anggota tentera udara akan ditempatkan di Pangkalan Tentera Udara Clark yang merupakan bekas pangkalan udara AS, pada hujung bulan ini.

Antara pesawat yang terlibat dalam inisiatif itu termasuk lima buah pesawat penyerang A-10C Thunderbolt II, tiga buah helikopter HH-60G Pave Hawk dan sebuah pesawat operasi khas, MC-130H.

Selain itu, kira-kira 75 askar, kebanyakannya anggota marin akan kekal di Filipina mengikut giliran selepas latihan ketenteraan AS-Filipina yang dikenali sebagai Balikatan berakhir pada minggu ini.

“Langkah ini diambil selepas negara-negara di seluruh Asia Pasifik menyuarakan kebimbang-an terhadap tindakan China menambak tanah yang melibatkan ruang dan saiz selain peningkatan ketenteraan negara itu di kawasan laut terbabit.

“Negara-negara terbabit me-nyuarakan kebimbangan itu secara terbuka dan tertutup, di peringkat tertinggi, pertemuan serantau dan forum global,” kata Carter.

China menuntut hampir keseluruhan kawasan Laut China Selatan yang dipercayai kaya dengan hasil minyak dan gas.

Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam turut mengemukakan tuntutan di sebahagian kawasan perairan tersebut yang merupakan laluan penting pelayaran kapal dengan nilai dagang-an kira-kira AS$5 trilion (RM38 trilion) setahun.

Rondaan bersama antara AS dan Filipina di Laut China Selatan diadakan pada bulan lalu disusuli kerjasama kedua pada awal bulan ini dan dijangka dilaksanakan dengan lebih kerap pada masa depan seperti yang dirancang oleh Pentagon. – REUTERS