Pengerusi Jawatankuasa Haji Pusat yang juga Gabenor Mekah, Putera Khaled Al-Faisal berkata, projek yang diawasi oleh pihak berkuasa pembangunan wilayah dan dilaksanakan oleh Sekretariat Mekah itu merupakan bahagian penting dalam empat sistem jalan raya berbentuk bulatan untuk memudahkan aliran lalulintas.

Putera Khaled berkata, pembinaan bernilai sembilan bilion riyal (RM10.3 bilion) itu akan mengurangkan kesesakan lalu lintas dan lalu lintas pejalan kaki di Mekah dan tapak-tapak ibadah haji yang berdekatan.

Lingkaran tersebut bakal meng­hubungkan Sail Road ke Awali, Batha Quraysh, Al-Akishiyya dan Umm Al-Kattad melalui Jalan Al-Hada, Jeddah Expressway, Old Jeddah Road, Umm Al-Joud dan Al-Umrah di Jalan Madinah.

“Jalan ini terdiri daripada empat lorong trafik di setiap hala tuju dan sedang diintegrasikan dengan rangkaian jalan raya Mekah dan perkhidmatan bas serta kereta api,” katanya.

Sementara itu, Pelaburan Islam Jeddah (JIP) telah memuktamadkan rancangannya untuk menyediakan perkhidmatan bersepadu kepada jemaah haji, lapor Agensi Media Saudi (SPA).

JIP telah mengerahkan sumber manusia untuk memudahkan prosedur ketibaan dan keberangkatan jemaah selain menyediakan piawaian keselamatan tertinggi bagi kapal-kapal yang mengangkut jemaah haji dari pelabuhan.

Ketua Pengarah JIP, Abdullah Awwad Al-Zamai berkata, pelan itu juga melibatkan pengendalian barang terutama makanan termasuk memasang kamera di terminal penumpang yang diawasi oleh unit keselamatan.

“Seramai lapan kakitangan dengan tiga ambulans, lapan kenderaan pemadam kebakaran, 73 pasukan rondaan keselamatan dan 81 anggota bomba dikerah untuk menangani sebarang masalah atau kecemasan melibatkan para jemaah haji,” katanya.