Projek pembesaran bernilai AS$26.6 bilion (RM114 bilion) itu yang dilaksanakan oleh Saudi Binladin Group dihentikan hampir dua tahun lalu ekoran insiden kren tumbang di Masjidilharam yang mengorbankan sebanyak 107 orang.

Menurut sumber kepada Reuters yang dipetik portal Saudi Gazette semalam, kerja-kerja pem­binaan itu akan disambung se­mula selepas musim haji dan Saudi Binladin Group akan membayar tunggakan gaji kepada ka­ki­tangan terlibat dalam projek ber­kenaan bermula 20 Ogos ini.

Ini berdasarkan nota yang di­serahkan syarikat terbabit kepada firma perbankan terlibat dengan sumber industri pembinaan dan perbankan mengesahkan ranca­ngan itu.

Saudi Binladin, satu daripada firma pembinaan terkemuka Arab Saudi dan Kementerian Kewangan bagaimanapun gagal dihubungi bagi mengulas perkembangan ter­­­sebut.

Pembesaran Masjidilharam dan kawasan sekitar bagi memu­atkan lebih banyak jemaah ditangguh selepas tragedi pada bulan September 2015 itu selain ke­rana faktor kewangan kerajaan yang menyusut akibat penuru­nan harga minyak.

Kerajaan dilihat sedang me­nik­mati pemulihan sederhana dalam pendapatan minyak dan berminat untuk meneruskan projek besar infrastruktur dan pelancongan aga­ma sebagai sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi negara kepada eksport minyak.

Selain itu, kerja-kerja pembesaran Masjidilharam juga me­rupakan isyarat tamatnya larangan sementara terhadap Saudi Binladin daripada mendapat sebarang kontrak kerajaan selepas tragedi kren tumbang tersebut.

Kata sumber itu, Kementerian Kewangan Arab Saudi tahun ini membuat peruntukan bagi projek utama dan perbincangan dilakukan dengan Saudi Binladin sejak beberapa minggu kebelakangan ini untuk menyambung semula beberapa projek besar.

Kementerian itu katanya, berjanji akan membuat pembayaran kepada syarikat yang memboleh­kan Saudi Binladin membayar gaji kakita­ngannya.

Satu lagi projek kerajaan yang tertangguh melibatkan Saudi Bin­­ladin adalah pembinaan Hotel Abraj Kudai di Mekah bernilai AS$3.5 bilion (RM15 bilion) yang akan disambung semula beberapa bulan akan datang.

Saudi Binladin dilapor telah memulakan semula pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz yang baharu di Jeddah, awal tahun ini.