Menurut laporan berita Mail Online, kebanyakan graduan dan lepasan sekolah juga kini dilihat tidak mempunyai pemikiran dan kemahiran yang diperlukan untuk memajukan diri di tempat kerja.

Kaji selidik pendidikan dan kemahiran CBI/Pearson terhadap 344 firma di United Kingdom (UK) mendapati, 32 peratus syarikat tidak berpuas hati dengan sikap, tingkah laku serta daya tahan diri lepasan institusi pengajian tinggi ketika bekerja, manakala 40 peratus lagi mengatakan golongan tersebut tidak mempunyai kesedaran tentang keperluan pelanggan.

Terdapat juga kebimbangan tentang kemahiran literasi dan numerasi pekerja muda, apabila nisbah dua daripada lima atau lebih 41 peratus firma terkenal mengakui terpaksa menjalankan kursus tambahan dan latihan untuk meningkatkan keupayaan golongan tersebut bagi menguasai kemahiran asas itu.

“Majoriti firma dan syarikat swasta di UK percaya sistem pendidikan kini kurang memberi tumpuan kepada pembangunan literasi dan numerasi, pemba­ngunan kendiri serta kemahiran berkomunikasi.

“Hal demikian kerana sikap peribadi, kebolehan serta kese­diaan untuk belajar, kemahiran berkomunikasi yang berkesan dan keupayaan mencukupi untuk mengatasi permasalahan adalah kunci utama kejayaan dalam alam pekerjaan. Sangat penting bagi semua golongan muda memperbaiki kekurangan ini,” jelas laporan kajian tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah CBI, Josh Hardie berpendapat, kualiti pengajaran, pembelajaran dan inspirasi kerjaya ketika di bangku sekolah mampu mentakrifkan peluang masa depan golongan muda.

“Mempertingkatkan tahap aka­demik tidak seharusnya dijadikan fokus utama bagi sekolah dan pusat pengajian sehingga membiarkan aspek pembangunan kendi­ri yang lebih penting ditolak ke tepi,” katanya.

Namun, Ketua Persatuan Guru dan Pensyarah, Dr. Mary Bousted menegaskan, pemotongan dana pendidikan untuk melanjutkan pengajian di negara ini sejak 2009 merupakan antara punca utama syarikat dan firma perniagaan sukar mendapatkan tenaga kerja mahir.