Ditambah dengan sambutan Hari Kekasih hari ini, laman-laman web yang menawarkan khidmat janji temu secara maya menyaksikan pertambahan jumlah pelawat.

"Janji temu Internet semakin mendapat perhatian terutamanya pada waktu-waktu begini (Hari Kekasih).

"Hari Kekasih adalah satu hari yang penting di sini. Setiap orang mahukan teman," kata Megha Singhal, 21, yang mengendalikan portal untuk golongan bujang yang kesunyian, www.overweightshaadi.com bersama adiknya.

Perkahwinan atau 'shaadi' dalam bahasa Hindi, kekal dianggap sebagai perkara asas dalam masyarakat konservatif India, dengan beratus-ratus laman web mencari jodoh bersungguh-sungguh mencarikan pasangan hidup yang dirasakan sesuai untuk ahli-ahli mereka, berbanding bertemu secara kebetulan.

Portal-portal yang telah lama diwujudkan seperti www.shaadi.com, www.bharatmatrimony.com dan www.jeevansathi.com, menawarkan carian secara umum.

Bakal pengantin lelaki dan wanita boleh dipilih berdasarkan umur, kasta, agama, bahasa atau tempat tinggal.

Bagaimanapun, Singhal dan banyak pihak lain berpendapat, laman-laman web perkahwinan yang menawarkan individu dengan latar belakang tertentu, adalah lebih efektif.

Sebagai contoh, Yazdi Tantra, seorang perunding komputer di Mumbai, mengendalikan www.theparsimatch.com, satu daripada laman web yang dikhaskan untuk pengamal kepercayaan purba Zoroastrian yang kini semakin pupus.

"Pada dasarnya, orang Parsi lebih suka mengahwini sesama mereka. Ia menjimatkan masa berbanding perlu melayari laman-laman web yang menawarkan individu daripada pelbagai budaya bagi mendapatkan satu profil," katanya. - AFP