Ketika kali terakhir para penyelidik menjejakkan kaki di kawasan terpencil di Perancis, Ile aux Cochons iaitu di tengah-tengah antara hujung Afrika dan Antartika, pulau itu mempunyai kira-kira dua juta penguin raja.

Namun, menerusi imej satelit yang dirakam menerusi sebuah helikopter baru-baru ini mendapati, populasi berkenaan telah merosot dan kini hanya tinggal 200,000 ekor.

Penguin raja merupakan spe­sies yang tidak berhijrah meskipun pada satu-satu masa haiwan itu akan berenang selama beberapa hari untuk mencari makanan.

Para penyelidik menyatakan punca mengapa bilangan penguin raja di Ile aux Cochons semakin berkurang masih menimbulkan tanda tanya.

“Ini adalah sesuatu yang tidak dijangka dan sangat ketara memandangkan populasi haiwan itu mewakili hampir satu pertiga penguin raja di dunia,” menurut penulis utama kajian Antartic Science, Henri Weimerskirch.

Weimerskirch menyatakan perubahan iklim mungkin memainkan peranan penting dalam kemerosotan bilangan penguin raja.

Pada 1997, fenomena cuaca El Nino melanda selatan Lautan Hindi, menyebabkan ikan dan sotong yang menjadi makanan utama penguin raja semakin berkurangan.

“Ini menyebabkan penurunan populasi dan kadar pembiakan yang merosot untuk semua po­pulasi penguin raja di rantau ter­babit,” kata Weimerskirch. – AFP