Al-Jazeera melaporkan, resolusi tersebut diusulkan semalam selepas Jawatankuasa Hubu-ngan Luar Senat AS ‘berkeyakinan tinggi’ bahawa Mohammed atau lebih dikenali dengan jolokan MBS adalah dalang pembu­nuhan itu.

Mohammed boleh didakwa se­cara rasmi membunuh Jamal di Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turki pada 2 Oktober lalu sekiranya resolusi tersebut diluluskan oleh Dewan Senat.

Senator Lindsey Graham menerusi satu kenyataan berkata, re­solusi tersebut secara jelas men­dakwa Mohammed adalah dalang sebenar dalam pembu­nuhan wartawan Washington Post itu, selain membahayakan keselamatan negara ini dalam pelbagai sektor.

Keputusan untuk mengusulkan resolusi tersebut dibuat selepas ketua pendakwa raya Istanbul memfailkan waran tangkap terhadap dua pegawai kanan Mohammed yang didakwa terlibat dalam pembunuhan Jamal.

Selain itu, resolusi tersebut men­dakwa Mohammed turut bertanggungjawab dalam konflik perang di Yemen apabila pakatan tentera yang diketuai Arab Saudi melancarkan kempen serangan udara secara besar-besaran ke atas negara itu sejak 2015.

Dianggarkan lebih 18,000 se­rangan udara dilancarkan di Yemen, menyebabkan puluhan ribu penduduk awam terbunuh.

Keenam-enam senator itu juga mendesak supaya Arab Sau­di mengadakan rundingan secara terus dengan wakil kumpulan militan Houthi bagi menamatkan konflik perang di Yemen.

Resolusi berkenaan turut menggesa Riyadh dan ti­ga negara Arab yang lain menghentikan sekatan terhadap Qatar dan mencari penyelesaian politik bagi meredakan ketegangan di­plo­matik dalam Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Terdahulu, Setiausaha Negara, Mike Pompeo dan Setiausaha Keselamatan AS memaklumkan kepada barisan senator bahawa tiada bukti kukuh untuk mengaitkan Mohammed dengan kes pembunuhan Jamal dan mendesak mereka supaya tidak mengeruhkan hubungan dengan Riyadh.

Malah, Presiden Donald Trump secara berulang kali mengelak untuk mengaitkan pembabitan Mohammed dalam insiden 2 Oktober lalu.

Ini di sebalik laporan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum ini mendakwa Mohammed mengarahkan supaya Jamal dibunuh.