Menurut portal berita BBC, Presi­den Zimbabwe, Robert Mugabe berada dalam tahanan di kediamannya di Harare dan terdapat laporan mengatakan isterinya, Grace Mugabe telah melarikan diri ke Namibia.

Tidak jelas sama ada rampasan kuasa tentera akan membawa peng­akhiran rasmi terhadap pemerintahan Mugabe namun matlamat utama jeneral tentera dilihat jelas untuk menghalang Grace daripada menggantikannya.

Media tempatan melaporkan Men­teri Pertahanan dan Keselamatan Afrika Selatan yang dihantar oleh Presiden Afrika Selatan, Jacob Zuma sebagai duta serantau, tiba di Harare malam tadi dan dijangka mengadakan pertemuan dengan Mugabe serta pasukan tentera.

Zuma sebelum ini menyeru supaya semua pihak bertenang dan meminta pasukan pertahanan memastikan keamanan serta kestabilan Zimbabwe tidak terjejas.

Blok serantau Komuniti Pembangunan Afrika Selatan (SADC) turut mengadakan mesyuarat tergempar di Botswana untuk membincangkan krisis tersebut.

Pasukan tentera dan kereta perisai dilaporkan membuat rondaan di kawasan bangunan Parlimen dan kebanyakan jalan raya sejak malam tadi tetapi keadaan kelihatan te­nang tanpa sebarang rusuhan.

Mugabe, 93, menguasai Zimbabwe sejak negara ini memperoleh kemerdekaan daripada Britain pa­da tahun 1980.

Zimbabwe dilanda krisis politik baharu minggu lalu selepas Mugabe bertindak memecat Timbalan Presi­den, Emmerson Mnangagwa, 75, yang sebelum ini disebut-sebut sebagai penggantinya dan memilih Grace untuk mengisi jawatan tersebut.

Pergolakan mengenai siapa yang layak menggantikan Mugabe telah menyebabkan perpecahan besar da­lam parti pemerintah, Zanu-PF sejak beberapa bulan lalu.

Semalam, tentera mengambil alih ibu pejabat penyiaran kebangsaan, ZBC dan mengeluarkan ke­nyataan bahawa tentera sedang menyasarkan penjenayah di sekeliling Mugabe namun Mejar Jeneral Sibusiso Moyo menafikan terdapat rampasan kuasa tentera. – REUTERS