Wuthipong yang melarikan diri sejak rampasan kuasa tentera kembali menjadi buruan polis selepas sejumlah besar senjata yang dipercayai mempunyai kaitan dengan rancangan terbabit dirampas kelmarin.

Antara senjata yang dirampas termasuk pelancar bom tangan M79, 11 butir bom tangan, 13 laras raifal serta hampir 6,000 butir peluru dan bahan peledak TNT.

Turut dirampas ialah hampir 400 biji methamphetamine atau pil kuda.

Menurut Ketua Polis Negara, Chakthip Chaijinda, sebahagian daripada senjata tersebut dipercayai dicuri daripada tentera semasa perhimpunan tunjuk pera­saan oleh anggota Baju Merah pada 2010.

Jelas beliau, senjata terbabit mungkin digunakan untuk me­lancarkan serangan terhadap Kuil Wat Phra Dhammakaya di daerah Khlong Luang, Pathum Thani, wilayah tengah Thailand.

Susulan rampasan itu juga, sembilan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Wuthipong ditahan bagi membantu siasatan.

Bangkok Post melaporkan, sembilan individu itu ialah Theerachai Utarawichian, 55; Prathuang On-lamun, 58; Palida Ruangsuwan, 62; dan Wanchaichana Krutchaiyan, 56.

Suspek lain, Aem-on Watkaew, 44; Thossapol Ketkosol, 25; Udomchai Nopsawas, 60; Thanachot Wongjanchompoo, 57; dan Suriyasak Chatpitakkul, 49.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Wilayah 1 Thailand, Mejar Jeneral Sombat Milintachinda mengesahkan kese­mua sembilan individu terbabit me­ngambil bahagian dalam perhimpunan Baju Merah di tengah kota Bangkok tujuh tahun lalu.

Dalam perkembangan ber­kaitan, seorang lelaki yang me­ngaku sebagai Wuthipong menafikan dirinya mempunyai kai­tan dengan rampasan sejumlah besar senjata itu.

Bercakap melalui rakaman suara yang disiarkan menerusi laman Youtube, lelaki terbabit mengakui berasa ‘kasihan’ de­ngan nasib yang menimpa sembilan individu yang ditahan itu sambil menyifatkan apa yang berlaku itu sebagai ketidakadilan dalam undang-undang.

Bagaimanapun, identiti sebenar lelaki itu masih belum disahkan sehingga kini.

Difahamkan, Wuthipong yang juga dikenali sebagai Kotee kini bersembunyi di negara jiran, dipercayai Kemboja. – DPA/REUTERS/AGENSI