Menurut polis, lebih 1,100 nasionalis Hindu ditahan untuk menghalang sebarang gangguan sewaktu tayangan filem terbaru Shahrukh, My Name is Khan.

Pegawai kanan polis, Himanshu Roy berkata, sejumlah 21,000 anggota polis akan mengawal lebih 60 pawagam yang alam menayangkan filem tersebut.

"Lebih banyak langkah keselamatan akan diambil jika perlu,'' katanya.

Shiv Sena, parti politik nasionalis terkenal berhaluan cauvinis dan fundamentalis Hindu melabel Shahrukh sebagai pembelot.

Ia berikutan Shahrukh melahirkan kekecewaannya kerana tiada pemain kriket Pakistan - musuh ketat India - diambil beraksi dalam Liga Kriket India bulan depan.

Shahrukh, seorang penganut Islam, menolak untuk memohon maaf atas komen berkenaan.

Aktivis Shiv Sena merusuh di banyak tempat di sini untuk hari kedua hari ini sambil mengoyakkan poster filem yang kini dalam kempen promosi di seluruh negara itu.

Sebuah pawagam yang merancang untuk menayangkan filem berkenaan mulai Jumaat ini turut dibaling batu. Patung pelakon berkenaan juga dibakar.

Bimbang keganasan menular, beberapa pawagam menghentikan jualan awal tiket-tiket untuk filem berkenaan.

Shiv Sena yang bermaksud "Tentera Shiva", kehilangan sebahagian sokongan sejak kebelakangan ini tetapi kekal berpengaruh di sini di mana ia bersekongkol dengan ahli politik Hindu berpendirian keras. - AP