Walaupun kebanyakan negara lain kebiasaannya memberi anugerah kerana keberanian anggota polis, Indonesia pula menghargai Seladi, 57, selepas kisah­nya menolak rasuah menjadi viral baru-baru ini.

Di Indonesia, pasukan Indonesia sering menerima rasuah daripada orang awam, terlibat dalam perdagangan dadah serta kes-kes suapan berprofil tinggi.

Bagaimanapun, Seladi yang juga bapa kepada tiga anak menegaskan, dia enggan me­nerima rasuah walaupun hanya memperoleh gaji 5.2 juta rupiah (RM1,593) sebulan dan berdepan godaan setiap hari di tempat kerja lebih-lebih lagi apabila berkhid­mat di jabatan pengeluaran lesen di bandar Malang, pulau Jawa.

“Banyak cabaran perlu saya hadapi di bahagian lesen. Ramai orang mahu memberi saya wang dan hadiah supaya mereka boleh lulus dan mendapat lesen.

“Namun, saya sering menolak. Ibu bapa saya mengajar saya untuk tidak menerima rasuah,” katanya.

Kehidupan Seladi sekeluarga juga sederhana, malah oleh kerana tidak mampu membeli rumah, mereka tinggal di rumah mertua.

Lelaki itu pada 2004 mula mencari barangan terpakai dan memperoleh sebanyak 65,699 rupiah (RM19.91) sehari sebagai pendapatan tambahan.

Jurucakap polis Jawa Timur, Argo Yuwono berkata, Seladi dipilih menerima penghargaan bukan sahaja kerana menolak rasuah, malah atas dedikasinya mencari pendapatan lebih untuk keluarga. – AFP