Agensi berita Wafa mela­porkan, polis Israel turut melarang azan daripada dilaungkan dan sebarang ibadah dilakukan dari dalam premis selepas menutup semua pintu masuk ke masjid suci ketiga bagi umat Islam itu, langkah yang membangkitkan kemarahan umat Islam.

Polis Israel mendakwa, kompleks masjid ber­kenaan hanya akan dibuka kepada jemaah dan pengunjung pada pagi hari ini.

Terdahulu, insiden penutupan itu memaksa umat Islam menunaikan solat di luar pintu masuk ke kompleks ber­kenaan sejak tengah hari selepas polis menyerang jemaah yang beribadah di dalam Masjid al-Aqsa dan menghalau mereka keluar sebelum menutup pintu pagar.

Penduduk Palestin menafikan membaling bahan letupan malah menegaskan kebakaran itu mungkin dimulakan polis Israel sendiri atau ejen mereka sebagai alasan untuk menutup kompleks Masjid al-Aqsa.

Tindakan itu dipercayai dilakukan rejim Zinois sebagai sebahagian daripada plot mereka untuk memaksa penutupan kawasan Bab al-Rahma, usaha yang dilakukan sejak lebih tiga minggu lalu.

Menurut saksi, satu pasukan besar polis Israel dikerah ke Kota Lama Baitulmuqaddis namun kebanyakannya mengawal pintu masuk Masjid al-Aqsa dan menghalau penduduk Palestin yang mahu menunaikan solat Isya’ di ruang terbuka di luar Bab al-Asbat.

Satu pergaduhan berlaku pada satu ketika dan pihak polis menggunakan kekerasan untuk meleraikan jemaah dan empat penduduk Palestin dilaporkan cedera susulan insiden terbabit.

Sementara itu, Al-Jazeera melaporkan, Jurucakap Pihak Berkuasa Endowmen Agama Baitulmuqaddis, Firas al-Dibs berkata, puluhan tentera Israel menyerbu pekarangan Masjid al-Aqsa dan me­nyerang beberapa tokoh agama.

Katanya, antara yang dise­rang oleh pihak berkuasa Zionis adalah Pengarah Masjid al-Aqsa, Omar Kiswani dan pemangku Hakim Tertinggi Mahkamah Agama Baitulmuqaddis.

“Polis yang menggunakan cota telah mengepung dan menyerang berpuluh-puluh jemaah yang berada berhampiran Masjid Kubah Batu di perkarangan Masjid al-Aqsa.

“Sekurang-kurangnya lima penduduk Palestin telah ditangkap untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan Israel, Ir Amim, sekurang-kurangnya 10 penduduk Palestin cedera semasa pertempuran itu, insiden yang mendorong kesemua jemaah dipaksa keluar daripada kawasan suci tersebut.

Sementara itu, Presiden Pa­lestin, Mahmoud Abbas me­­minta campur tangan ma­sya­rakat antarabangsa dan me­nuduh polis Israel dan pendatang Yahudi secara berterusan mencabuli kesucian masjid dan membakar sentimen orang Islam. – AGENSI