Portal berita Mail Online me­laporkan, kejadian di daerah Wadi Jozi di timur Baitulmuqaddis itu menyaksikan anggota polis ber­kenaan menjerit ke arah pemandu tersebut yang juga penduduk Palestin sebelum menanduk dan menendangnya tanpa belas kasihan.

Seorang saksi warga Palestin dilaporkan telah merakam aksi yang berlaku di tempat letak kereta berhampiran Kementerian Dalam Negeri itu dan menyerahkan satu salinan kepada wartawan radio awam Israel.

Video berkenaan kemudian dimuat naik ke laman sosial Facebook dan telah disaksikan dan dikongsi puluhan ribu rakyat Pa­lestin yang mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan itu.

Menurut saksi berkenaan, anggota polis itu bertindak demikian selepas menuduh pemandu lori itu melanggar dan merosakkan kenderaan miliknya.

Pasukan polis Israel dalam satu kenyataan mengutuk sera­ngan itu dan memberitahu anggota polis terbabit telah digantung tugas dan dipanggil untuk siasatan lanjut.

Kejadian itu turut mendapat perhatian Menteri Keselamatan Awam Israel, Gilad Erdan yang menyifatkan tindakan anggota tersebut sebagai sesuatu yang amat memalukan dan merosakkan reputasi pasukan polis.