Tuduhan itu menyukarkan lagi kehidupan keluarga kanak-kanak berkenaan, yang mula mendapat perhatian sejak filem itu melonjak setelah memenangi Anugerah Oscar dan mengaut hasil lebih AS$300 juta (RM1.1 bilion) di seluruh dunia.

Khurshid Begum, ibu kanak-kanak itu yang tinggal berasingan, telah memfailkan aduan kepada polis Mumbai kelmarin, selepas akhbar News of the World melaporkan bapa Rubina merancang untuk menjual anaknya sebagai anak angkat.

Menurut laporan akhbar Britain itu, urus janji menjadikan Rubina sebagai anak angkat telah ditawarkan kepada seorang wartawannya yang menyamar sebagai 'sheikh' dari Asia Barat.

Akhbar itu yang dimiliki syarikat News International Ltd., anak syarikat kepada News Corp. yang turut memiliki syarikat pengedar filem Slumdog Millionaire, Fox Searchlight Pictures, melaporkan, bapa Rubina menuntut bayaran sebanyak AS$400,000 (RM1.4 juta).

''Mereka patut dihukum. Tiada bapa yang sanggup menjual anaknya,'' kata Begum selepas berkelahi dengan ibu tiri Rubina.

Polis kemudian membawa Rubina serta ayahnya, Rafiq Qureshi daripada rumah mereka di Mumbai ke sebuah balai polis di mana Qureshi disoal siasat.

Ketika bercakap kepada pemberita di luar balai polis itu semalam, Qureshi menafikan laporan akhbar tersebut dengan berkata, dia telah diperdaya supaya pergi ke hotel mewah di Mumbai oleh seseorang yang mendakwa mereka tersentuh dengan kisah Rubina dan mahu membantunya.

''Kami ke sana untuk bertemu mereka dengan niat baik. Namun, mereka membuat tuduhan palsu terhadap saya dan cuba memerangkap saya,'' katanya.

Jelas Qureshi, dia juga telah dijanjikan sejumlah wang tunai dan akan ditawarkan lebih wang jika menyerahkan anaknya.

''Tetapi saya menolak tawaran itu.'' kata Qureshi.

Katanya kepada polis, dia percaya bahawa perangkap itu mungkin komplot untuk mendapatkan semula hak penjagaan ke atas Rubina oleh bekas isterinya, yang berpisah dengannya sejak tujuh tahun lalu dan hanya muncul dalam hidup Rubina selepas filem itu berjaya.

''Anak-anak saya sentiasa bersama saya, dan saya sanggup bergadai nyawa untuk mereka. Saya tidak akan menjual mereka kepada sesiapa, tidak kira berapa jumlah wang yang ditawarkan,'' katanya.

Polis berkata, mereka masih menyiasat dakwaan itu.

''Terdapat dakwaan dan dakwaan balas yang dibuat oleh ibu bapa kanak-kanak itu. Kami sedang menyiasat perkara ini,'' kata pegawai polis, Nishar Tamboli kepada pemberita. - AP