Bercakap sebelum pendengaran kes yang diadakan lewat hari ini, M.L. Sharma memberitahu AFP, anak guamnya dipukul ketika di dalam tahanan untuk mendapatkan pengakuan bersalah atas dakwaan itu.

"Kesemua tertuduh dipukul dengan teruk oleh polis dan mereka menggunakan kaedah tahap ketiga untuk mendapatkan kenyataan bersesuaian dengan bukti yang polis peroleh.

"Anak guam saya telah dipaksa mengaku melakukan jenayah yang tidak dilakukannya," kata Sharma ketika di luar Mahkamah Daerah Saket di selatan New Delhi, hari ini.

Seorang jurucakap polis New Delhi bagaimanapun menolak untuk mengulas dakwaan tersebut.

Sharma merupakan peguam bela kepada tiga daripada lima suspek dalam kes tersebut yang dijangka tidak akan mengaku bersalah atas tuduhan serangan kejam yang mencetuskan bantahan di seluruh India.

Dua lagi defenden masih belum mendapatkan peguam, manakala suspek keenam yang berumur 17 tahun akan dibicara di mahkamah juvenil.

Sementara itu, pegawai mahkamah pada Isnin lalu berkata, kes itu akan dipindahkan ke mahkamah perbicaraan dengan segera dalam pendengaran kes hari ini, yang akan diadakan secara tertutup.

Sharma dalam pada itu berkata, beliau akan membuktikan anak guamnya tidak bertanggungjawab atas serangan pada 16 Disember lalu, tetapi menafikan cuba untuk menyalahkan mangsa.

Dalam temu bual dengan Bloomberg sebelum ini, beliau dipetik sebagai berkata, teman lelaki mangsa 'bertanggungjawab sepenuhnya' atas insiden itu kerana pasangan yang belum berkahwin tidak sepatutnya berjalan-jalan pada waktu malam. - AFP